Wednesday, July 22, 2009

Menguji Iman Melalui Peristiwa Isra’ Mikraj

Pada setiap tanggal 27 Rejab, kita umat Islam akan teringat peristiwa yang sangat luarbiasa , iaitu peristiwa perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. di waktu malam dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Kemudiannya terus naik ke langit ke tujuh sampai ke Sidratul Muntaha. Peristiwa ini dikenali sebagai ‘ Peristiwa Isra’ dan Mikraj”

Hebatnya peristiwa ini sehingga mengundang sebahagian dari kaum Muslimin setiap pelusuk negara kita memperingatinya dengan mengadakan pelbagai kegiatan khususnya di masjid-masjid, surau-surau, sekolah atau pusat pengajian tinggi dan seumpamanya untuk meraikan sambutan peristiwa bersejarah ini.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj terjadi cuma sekali dalam sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w. Satu setengah tahun sebelum berhijrah ke Madinah, perkara ini terjadi kepada diri seorang manusia maksum dan sungguh luarbiasa sehingga tidak semua orang meyakini kebenarannya , kecuali orang yang benar-benar beriman, yang mendapat hidayah dari Allah s.w.t.

Bagi yang beriman kepada keesaan Allah dan Hari Kiamat, ia menerimanya dengan hati yang terbuka. Diterima kerana merupakan satu perkara yang logik. Apatahlagi peristiwa itu dihubungkan sebagai salah satu mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. . Maka tidak ada masalah yang perlu diragui. Yang jelas, kebenaran peristiwa ini tidak mesti sesuai dengan hukum alam dan logik akal manusia, tanpa juga perlu mempercayai secara jasad dan roh, kecuali setelah diperoleh pendapat-pendapat yang nyata dari peristiwa tersebut. Kita juga mesti beiman dengan Isra’ dan Mikraj, oleh kerana ada perintah kewajipan menunaikan solat lima waktu. Kewajipan inilah yang menjadi pokok keimanan dan hendaklah dikerjakan bersungguh-sungguh tanpa meninggalkannya samasekali.

Semasa perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. bersama Jibril a.s. menuju ke Sidratul Muntaha, keduanya bertemu dengan nabi-nabi yang terdahulu di setiap lapisan langit seperti Nabi Adam a.s. , Nabi Yahya a.s. dan Nabi Isa a.s. , Nabi Yusuf a.s. dan Nabi Idris a.s., Nabi Harun a.s. Nabi Musa a.s. dan Nabi Ibrahim a.s.

Perjalanan mereka sampai ke suatu tempat yang bernama ‘Sidratul Munhata’ iaitu suatu kumpulan bintang-bintang terakhir dan tertinggi , letaknya sangat jauh di luar ‘ susunan tujuh lapisan langit’. Setelah itu meneruskan lagi perjalanan ke suatu tempat bernama ‘Baitul Makmur’ suatu kumpulan bintang-bintang diluar Sidaris ( Sidratul Muntaha). Di tempat inilah Nabi Muhammad s.a.w. menerima perintah wajib solat yang pada mulanya berjumlah 50 kali sehari semalam. Tetapi atas nasihat Nabi Musa a.s. , Nabi Muhammad s.a.w. memohon kepada Allah s.w.t. agar dikurangkan oleh kerana beliau khuatir umatnya tidak mampu melaksanakannya kelak. Allah s.w.t. mengurangkannya menjadikan 5 kali sehari semalam.

Hikmah dan tujuan utama peristiwa Isra’ danMikraj supaya umat Islam mewujudkan hubungan dengan Allah yang juga disebut dengan istilah ‘Solat”, sebagai ibadah utama yang wajib dikerjakan 5 kali sehari semalam, sesuai dengan tatacara dan tatatertib yang digariskan oleh Rasulluh s.a.w. pada masa hayatnya yang diterima melalui wahyu.

Ia juga sebagai memperlihatkan kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t, diwaktu bangsa Arab masih banyak yang mengingkari kebenaran ajaran Allah, bagi menjelaskan bahawa kejadian ini adalah suatu pekerjaan yang amat berat, supaya mereka dapat yakin dan mengerjakannya secara ikhlas. Semestinya keadaan itu disertai dengan peristiwa luar biasa yang disebut sebagai mukjizat.

Diantara kejadian yang ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan ini, ialah manusia diazab dengan cara memotomg lidah mereka sendiri kerana dosa yang dilakukan semasa hidup didunia disebabkan terlalu suka mengumpat, mencela dan mencaci orang lain. Juga ditunjukkan bagaimana seorang yang membawa kayu api di atas belakangnya, walaupun sudah tidak mampu memikulnya ditambahnya lagi beban itu sehingga membinasakan dirinya sendiri. Keadaan ini tidak terkecuali masih terjadi dalam masyarakat kita dengan menerima bebanan amanah sedangkan mereka sudah tidak mampu memikulnya. Begitu juga diperlihatkan kepada beliau hukuman terhadap mereka yang mengingkari serta tidak mahu melaksanakan solat lima waktu, dirantai dengan besi yang dinyalakan api melingkari tubuh mereka dan betapa siksanya mereka ketika itu.

Yang menjadi agenda utama sempena peristiwa ini adalah perintah wajib solat lima waktu sehari semalam, baik untuk peribadi nabi s.a.w. mahupun untuk umatnya dengan waktu yang telah ditetapkan….

Oleh kerana pentingnya solat lima waktu di dalam kehidupan seseorang Muslim , marilah kita tanamkan pendidikan Islam yang sebenar-benarnya kepada anak-anak kita . Kita mesti ada perancangan terutama yang berkaitan masa depan anak-anak dengan membekalkan mereka dengan didikan agama, supaya mereka tidak lupa dan salah faham mengenai agama Islam, memahami Rukun Islam dan Rukun Iman dan menyedarkan mereka untuk menguasai seluruh kehidupan dengan amalan baik dan sempurna.

Jadikan pengajaran dan iktibar dari peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri kita dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji yang sia-sia.

Dipetik dari ‘Khutbah Jumaat khas sempena Isra’ dan Mikraj bertajuk menguji iman melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj terbitan JAIS

No comments:

Post a Comment