Tuesday, August 18, 2009

PESAN IMAM AL GHAZALI (2)


Adab-adab Melaksanakan Ketaatan

Ketahuilah olehmu bahawa perintah Allah itu ada yang fardhu (wajib) dan ada yang sunat. Yang fardhu ialah modal iaitu asas perniagaan. Dan dengan modal ini kita akan selamat, sedangkan yang sunnat itu ialah keuntungan dan dengan keuntungan itu kita akan mendapat beberapa darjat kelebihan.

Sabda Rasulullah s.a.w. - Ertinya:

" Allah Ta'ala telah berfirman ( di dalam hadith qudsi ): tidak ada suatu cara yang lebih sesuai untuk hambaKu menghampirkan dirinya kepada Ku dengan seumpama mereka melakukan ibadat yang Aku fardhukan ke atas mereka. Dan sentiasa seorang hamba Ku menghampirkan diri kepada Ku dengan menambah amalan yang sunat-sunat ( setelah mereka melakukan yang fardhu-fardhu) sehingga Aku mencintainya, maka apabila Aku telah mencintainya maka Akulah pendengaran yang ia mendengar dengannya dan Akulah pengelihatan yang ia melihat dengannya dan Akulah lidahnya yang ia bercakap dengannya dan Akulah tangannya yang ia menyentuh dengannya dan Akulah kakinya yang ia berjalan dengannya. "
( Hadith riwayat Bukhari dari Abu Hurairah ),

Dan engkau, wahai penuntut - tidak dapat melaksanakan semua perintah Allah Taala kecuali dengan menguasai hati dan seluruh anggotamu pada sekelian masa dan nafasmu, bermula dari pagi sampai ke petang.

Dan ketahuilah bahawa Allah Taala itu mengetahui segala yang ada di dalam hatimu dan Dia menilik segala yang ada pada zahir dan batinmu. Dan Dia mengetahui segala masamu, lintasan hatimu dan segala langkah-langkahmu dan segala diammu dan gerakmu. Dan samaada engkau bergaul dengan orang ramai atau engkau duduk bersendirian, sebenarnya engkau sentiasa didalam perhatian Tuhanmu. Maka tidak diam sesuatu yang diam di alam "MULK" ( alam yang nampak oleh manusia) dan alam "Malakut" ( alam yang tidak nampak oleh manusia) dan tidak bergerak segala bergerak kecuali Tuhan yang menguasai sekelian langit dan bumi itu melihat dan mengetahuinya sepertimana FirmanNya:

" Dia ( Allah) mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati "
( Surah Al Mukmin , ayat 19)

Allah berfirman Lagi:

" Allah mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi lagi"
( Surah Thaha, ayat 7)

Maka jagalah adab-adabmu di hadapan Tuhanmu, baik zahir ataupun batin seperti beradabnya seseorang hamba yang hina yang banyak membuat kesalahan di hadapan seorang raja yang gagah perkasa. Dan bersungguh-sungguhlah engkau menjalani adab sehingga Tuhanmu tidak melihat engkau di tempat yang Dia larang dan jangan sampai engkau tidak ada di tempat yang dikehendakiNya kehadhiranmu.

Dan Engkau tidak akan mampu berbuat demikian kecuali bila engkau aturkan masa mu baik-baik dan engkau susunkan wirid mu ( bacaanmu ) daripada waktu pagi hingga ke petang. Maka dengarlah baik-baik, kerana aku akan menyebutkan segala yang disuruh oleh TuhanMu bermula dari engkau bangun tidur ( diwaktu pagi ) sampai kepada engkau kembali semula ke tempat tidurmu pada hari berikutnya.

( Petikan dari Buku Bidayatul Hidayah, diterjemahkan oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi , Terbitan Khazanah Banjariah, No. 3 Jalan Sheikh Muhammad al-Banjari, Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Pokok Sena, Kedah Darul Aman)


*********

No comments:

Post a Comment