Friday, January 7, 2011

ANTARA FANDI DAN P. RAMLEE


6 Jan 2011 -
FORUM

Fandi lebih bertuah daripada P. Ramlee

SAYA merujuk rencana Agar Fandi tidak senasib P. Ramlee (BH, 1 Januari).

Pada hemat saya, P. Ramlee yang tidak bertuah seperti Fandi Ahmad.

Daripada pembacaan saya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak merasakan hidup yang mewah. Malah rumah yang beliau sekeluarga diami semasa hayatnya pun bukan miliknya tetapi disewa.

Mereka sekeluarga juga pernah makan hanya berlaukkan telur goreng.

Keadaan ini berbeza daripada kehidupan Fandi yang pernah mendapat julukan ‘jutawan sukan’ – memiliki rumah dan kereta mewah dan bermacam-macam lagi. Ganjaran yang diraih Fandi memang hebat, setimpal dengan kebolehannya sebagai pemain bola sepak tersohor.

Tetapi kita harus ambil iktibar dan menerima kenyataan bahawa kerjaya dalam bidang bola sepak ini ada had umurnya.

Saya ingin bertanya: Apakah berbaloi menaja wang sebanyak $300,000 untuk keperluan Fandi sekeluarga di Italy atas sebab mendapatkan pendedahan awal untuk anak-anaknya di kelab bola sepak di sana?

Singapura ada sekolah sukan yang disediakan pemerintah dan boleh menempatkan anak-anak Fandi dan mereka juga akan mendapatkan didikan akademik dan sukan.

Adakah kemudahan yang sedia ada di Singapura ini tidak cukup baik untuk anak-anak Fandi?

Dalam kalangan masyarakat kita, masih ada ibu bapa yang terkial-kial mengumpul dana untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran di luar negara.

Kita seharusnya peka apa yang lebih utama. Akhir kata, masyarakat yang berjaya ialah masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan, lebih-lebih lagi dalam zaman globalisasi yang amat mencabar ini.

Sharifah Norjannah Al-Qudsy ( CyBerita Singapura )

No comments:

Post a Comment