Saturday, January 8, 2011

DIALOG AL QURAN

DIALOG ALQURAN:

Dimasa kecilmu, kau rapat sekali dengan aku
Dengan berwudu' kau sentuhi aku, kau junjung dan kau pelajari kandunganku
Kau baca ayat-ayat ku berlagu merdu bersuara lunak saban hari
Engkau cium aku paling mesra.
Teruskanlah kelangsungan sikap yang begini,
Bila engkau menjelang dewasa!.
Jangan padamkan minatmu,
Jangan biarkan aku ini menjadi usang dimamah sejarah,
Atau menjadi antara deretan hantaran pengantin
Atau menjadi maskawin teruna dara ke jinjang pelamin
Apakah taraf taqwamu hanya setakat itu?
Aku bukan penangkal menghalau iblis ,syaitan, jin dan hantu.
Mengapa aku dibuang ke tepi?
Sepi dihujung anjung bergelumang dengan habuk dan debu
Berselendang sarang lelabah.
Aku masih ingat waktu kecil mu dulu,
Menjelang pagi engkau membaca aku beberapa halaman
Menjelang petang, beramai-ramai bersama teman di masjid.
Tapi mengapa kini kau beraleh?
Surat khabar mengambil tempat paling awal menjelang pagi
Buku dan nobel mencuri masa lapang mu.
Sedangkan aku berisi ayat-ayat suci,
Engkau abaikan, engkau lupakan.

Engkau lupa membaca Bismillah,
Setiap kali memulakan tugas harianmu.
Engkau lebih asyik menikmati muzik hiburan
Sepanjang perjalananmu berkereta,
Putaran radio dari ke stesyen ke stesyen
Hanya gema music kesukaanmu yang berdendang,
Mengapa tidak kau letakkan aku dimejamu dipejabat?
Komputermu mu juga penuh berisi muzik,
Dimalam hari engkau bersengkang mata mengadap TV
Di depan komputer berjam-jam melayari FB
Benarlah engkau hampir melupai akan daku.
Putaran waktu cepat sekali berlaku,
Aku semakin kusam didalam almari,
Bersama debu-debu dimakan bubuk dan gegat.

Bila Ramadhan datang bertandang,
Engkau kembali membaca ayat-ayatku lagi
Tetapi hanya beberapa lembar.
Tiada lagi suaramu yang lunak merdu seperti dulu
Merangkak dan merangkak dari baris ke baris.
Aku sedih dan aku menangis.
Nanti, bila sampai waktu engkau di dalam kubur,
Sendirian engkau menanti tiupan nafiri kiamat
Engkau disoal-siasat oleh malaikat
Apakah amal ibadat yang engkau buat.
Tiada TV, tiada radio dan tiada hiburan,
Komputer pun tiada.
Yang pasti ada ialah aku
Aku lah sahaja pembantu mu sebagai yang di janji Tuhan kita.
Didalam kubur kini engkau bersemadi,
Kubur tetap setia bersamamu
Kini engkau kembali mengadap Tuhanmu.

Andainya aku ini engkau layani
Andainya ayat-ayatku engkau baca selalu
Andainya engkau pelajari maksudnya
Andainya engkau amalkan ilmu dan ajarannya
Andainya engkau ajarinya kepada anak keturunanmu
Andainya engkau hayati sebenar-benarnya
Pasti aku temankan engkau,
Aku terangi alam kuburmu,
Akulah pahlawan gagah melindungimu,
Membelamu sepanjang perjalananmu di akhirat,

Ambillah aku kembali
Peganglah aku kembali
Bacalah aku kembali setiap hari,
Ayat-ayat suci dari Ilahi , Allah Tuhan kita
Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Muhammad Rasulullah menerimanya dari Jibril.
Keluarkan aku segera dari almarimu,
Letakkan aku di meja pejabatmu,
Isikan ayat-ayat aku dikomputermu
Putarkan ayat-ayat aku sepanjang perjalananmu berkereta
Kurangkan masamu bersama TV dan komputer
Baca dan terus baca
Pelajari dan terus pelajari
Hayati dan terus hayati
Ajari dan terus ajari
Sepanjang pagi, petang dan malam
Seperti dulu seusia kecilmu
JANGAN BIARKAN AKU KESEPIAN LAGI.

******

No comments:

Post a Comment