Thursday, January 27, 2011

HETTY SEBAGAI IBU RUMAHTANGGA

‎26 Jan 2011 --EKSTRA! BH S'pore

Ibu rumah tangga - Hetty Koes Endang tabah pikul tanggungjawab sebagai isteri di saat ketidaan suami dalam tahanan yang dikatakan difitnah kerana rasuah
Oleh Freda Hassan

RUMAH TANGGA yang bahagia disamping anak-anak serta suami tercinta yang sentiasa menyokongnya daripada belakang sebagai penyanyi dan 'ibu rumah tangga'.

Mungkin itulah rahsia kekal dalam industri hiburan sehingga kini oleh penyanyi senior yang disegani dari Indonesia, Hetty Koes Endang ketika ditemui untuk acara Untukmu Sinaran Hati anjuran Suria dan TAA baru-baru ini.

Hetty mendirikan rumah tangga pada 1991 dengan mantan Ketua Komisi IV,Yusuf Erwin Faishal, pada usianya 33 tahun sementara suaminya ketika itu berusia 31 tahun. Hasil perkongsian cinta itu, mereka dikurniakan dua anak, Amir Mahmud Saatari, 17 tahun, dan Afifah Qomariah, 14 tahun.

Dalam pertemuan eksklusif bersama akhbar ini, penyanyi yang dikenali dengan sifat peramahnya itu terbuka hatinya bercakap mengenai dirinya serta suami yang pernah diduga oleh satu cubaan yang agak berat.

Katanya membuka cerita: 'Mungkin ada yang tahu dan ada yang tidak tahu. Satu ketika saya dan suami mendapat 'cubaan'. Itulah yang saya katakan politik itu jahat dan kotor. Memang dunia suami bukanlah sebagai politikus (ahli politik) tapi seorang bisnesman yang ingin mengabdi kepada negara. Tapi setelah masuk jadi ahli politik, suami sebagai ketua DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) terkena fitnah.'

Suaminya dijatuhkan hukuman selama empat tahun enam bulan atas tuduhan korupsi. Beliau menjalani hukuman penjara sejak 2008 dan telahpun dibebaskan pada 12 November 2010 lalu. Difahamkan, suami Hetty dibebaskan awal atas tiket 'pembebasan bersyarat' atau PB.

Hetty secara automatis mengambil alih tugas suaminya sebagai ketua keluarga menguruskan rumah tangga serta anak- anak yang masih sekolah.

Beliau berkorban dengan mengurangkan aktiviti nyanyiannya lebih-lebih lagi untuk persembahan di luar negara meskipun tawaran nyanyian masih 'lebat' untuknya.

Saya memberanikan diri bertanya kepada Hetty apakah perasaannya ketika hakim menjatuhkan hukuman ke atas suaminya memandangkan Hetty turut hadir di mahkamah ketika suaminya dibicarakan.

'Saya hanya mengucap Alhamdulillah kerana kita tidak boleh memaki hakim. Suami pun terima dengan apa yang sudah dijatuhkan oleh pak Hakim. Kami mensyukuri saja.

'Jelas ada yang sakit hati tapi kita kembali kepada Allah. Biar Allah saja yang membalas di akhirat. Biarkan dia tertawa atas penderitaan orang,' terangnya tenang.

Hetty dan suami, Yusuf, memilih untuk mendiamkan diri dan tidak banyak berbual dengan media mengenai kes korupsi suami tercintanya itu. Tidak mustahil, penyanyi yang memulakan kerjaya seninya dari 1972 ini juga jarang tampil di kaca televisyen ketika suaminya masih ditahan. Fokusnya untuk 'menjaga bapak' sebagai seorang isteri mitali yang begitu setia walaupun diuji gelombang.

Tambah wanita berusia 54 tahun ini: 'Alhamdulillah, tentunya sokongan 180 peratus daripada saya sebagai isteri yang terus mendampingi. Tiada hari tanpa mendampingi suami. Suami 'di dalam', saya di luar memikul beban berat tapi saya anggap ini cubaan nikmat.'

Cubaan yang 'nikmat' itu Hetty menyifatkannya sebagai ujian 'naik kelas' ketika mereka diuji sebegitu.

Turut membanggakan, persekolahan kedua- dua anak mereka terjaga dan anak-anak memperolehi prestasi yang baik.

Beliau bersyukur kerana sepanjang penahanan suaminya itu, Hetty mampu menjalaninya dengan senang dan sudah 'naik kelas' kini kerana berjaya naik taraf berkat kesabarannya.

Katanya pada penulis: 'Alhamdulillah ia dijalani dengan ikhlas. Akhirnya, ending-nya enak. Memang sudah target. Pokoknya suami harus jatuh. Ia lebih kepada pembunuhan karektor iaitu lebih kepada orang yang tidak suka pada suami.'

Sebagai Hetty Koes Madewi yang mendirikan rumah tangga selama 21 tahun bersama jejaka pilihan hatinya, Hetty tetap berpendirian bahawa suaminya tidak bersalah.

Hetty berpeluang mendampingi suaminya sekerap yang beliau inginkan, selain daripada membawakan makanan dan menjaga kesihatan suaminya yang berada dalam tahanan. Meskipun tidak dapat bersama anak-anak di rumah, sang bapa tetap memantau prestasi anak-anak yang masih bersekolah dari jauh.

Kongsi Hetty lagi: 'Kami makan bersama di satu ruang pada Sabtu. Setiap Jumaat selepas suami solat Jumaat, kami berkumpul. Suami memberi nasihat dan tanyakan pada anak-anak perkembangan mereka. Sampai hari ini pun, suami berterimakasih pada saya.'

Saudara mara dan jiran tetangga Hetty adalah orang-orang yang terdekat ketika suaminya ditahan. Merekalah yang membuatnya dan anak-anak kuat menghadapi dugaan sedemikian.

'Anak-anak tidak setuju suami masuk ke politik lagi. Jadi kembali pada asas sebagai pengusaha dan saya sebagai ibu rumah tangga. Yang penting, saya jalani kehidupan saya sebagai seorang isteri, easy going.'

Sebelum kami akhiri perbualan, penyanyi yang gemar bergurau ini sempat menambah:

'Saya anggap suami sedang dalam pesantren (ketika dalam penjara). Kami tidak pernah anggap suami sebagai bekas tahanan. Bahkan kami naik kelas.'

***********

No comments:

Post a Comment