Sunday, January 16, 2011

Interlok, Pariah dan Sikap Kita

by HarisZ @ http://diskopi.wordpress.com

Aku mula mengenali Abdullah Hussain bukan melalui Interlok, tapi Imam (yang aku rasa jauh lebih baik daripada Interlok-nya itu), malah aku lebih akrab dengan novelnya yang lebih lewat seperti Masuk ke dalam Cahaya dan pastinya aku sangat menyenangi Perjalanan Mencari Bahasa yang sangat membantu untuk membaca zamannya. Bagi aku Abdullah pandai bercerita. Ketika itu aku baru tingkatan dua, aku dengan mudah mencapai novel – novel Abdullah ini dari rak perpustakaan, dan tak siapa peduli, ya, sungguh, memang tiada siapa yang kisah, apatah lagi mahu membakarnya!

Seingat aku ini kali kedua sebuah novel dikecam sebegini hina, selepas Shit, Shahnon Ahmad tapi Shit jauh berbeza dengan karya Abdullah Hussain. Malah, membaca Shit buat aku sedikit mual, dan sejujurnya aku tidak pernah membacanya hingga tamat. Bagi aku, Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan,Seluang Menodak Baung, dan Prostes lebih mudah untuk dicernakan dan sangat mengesankan. Lagi pula aku rasa karya Shahnon Ahmad jauh lebih political, keras dan berterus-terang jika mahu dibandingkan dengan Abdullah Hussain – yang bagi aku sangat romantis meskipun tidak se-romantis Usman Awang dan Hamka!

Lalu mengapa tiba – tiba Interlok menjadi sangat ‘gergasi’ di Malaysia, hingga sebahagian dari kita membakarnya?! Aku yakin, tidak semua yang ikut marah – marah itu membaca Interlok, apatah lagi mengenali Abdullah hussain sebelumnya. Reaksi terhadap Interlok sangat berlebih –lebihan. Tambah menjengkelkan dengan sikap politikus oportunis yang menahan lukah di air keruh. Tapi itu cerita lain.

Menilai karya 1970an (Interlok adalah kisah sebelum perang) dengan situasi kini amat tidak adil malah sering pula mengelirukan. Jika mahu marah, aku rasa orang Cina harus marah dulu kerana Interlok juga menyentuh bagaimana tanah orang kampung (pastinya Melayu) tergadai kepada orang (bukan kaum) Cina dengan muslihat yang sedikit licik. Tapi sekali lagi, jangan kita mudah terperangkap dengan jebak perkauman. Setiap karya harus dibaca mengikut konteks zamannya dengan analisa yang lebih objektif.

Abdul Rahim Kajai pasti akan dilabel sebagai etno-nasionalis Melayu jika kita membaca cerpen –cerpennya yang sangat kejap dengan persoalan identiti Melayu dan sikap persimisnya terhadap keturunan Syed dan Sharifah. Tapi pasti kita akan lebih memaafkan jika kita memahami gelojak zaman baru merdeka ketika mana bangsa ini mula berusaha mencari bentuknya.

Baik, mari kita lihat contoh yang jauh lebih awal, Hikayat Merong Mahawangsa (ditulis setelah 1630), mengatakan Phra Ong Mahawangsa diIslamkan oleh Syaikh Abdullah Yamani dari Makkah. Kedatangan Islam digambarkan dengan penuh mitos, ajaib, magis dan mengujakan. Penggunaan naratif ini dapat difahami kerana kedatangan Islam itu merupakan transisi besar dalam jalan sejarah tamadun Melayu seluruhnya. Akan tetapi kedatangan Islam tidak mengakibatkan perpisahan daripada masa lalu yang total dan radikal. Sungguhpun Islam meninggalkan kesan besar, maka begitu juga halnya dengan agama pra-Islam yang lain. Maka sebenarnya penulisan hikayat yang begini adalah suatu proses mendamaikan perubahan pandangan dunia tersebut. Kekaburan pada teks merupakan kekaburan pada zaman itu juga – dapat dicerap bagaimana watak mitos hinduisme saling bertingkah dengan nama Nabi dan Rasul. Andainya kita membaca tanpa memahami konteks zamannya pasti kita akan mengatakan Hikayat Merong Mahawangsa ini tidak lain hanya kurafat yang menyesatkan!

Demikiannya juga jika kita meneliti dengan cermat Hikayat Abdullah (1840) dan Kisah Pelayaran Abdullah (1838). Kita mungkin dengan mudah akan terjun dengan kesimpulan bahwa Abdullah Munsyi adalah pengampu Raffles dan pemuja Eropah (anglophile) jika kita menggunakan logik tahun 2011! Hakikatnya, beliau adalah antara penulis terawal yang keluar daripada langgam bahasa hikayat klasik dan sastera Arab yang pekat. Sikap anti-feudalnya juga melangkaui zamannya. Segalanya memerlukan pembacaan yang lebih luas yang harus melangkau sekadar teks.

Benar, reaksi dan emosi berlebihan terhadap Interlok dipacu sama oleh media dan politikus yang mencari sensasi dan populariti tapi persoalannya mengapa bangsa kita ini masih dengan mudahnya termakan dengan provokasi murah ini? Sentimen ini merupakan limpahan prasangka yang tidak mampu dibendung sejak sekian lama dan masalahnya kita tidak pernah benar-benar mahu menyelesaikannya. Kita sering berlindung dengan segala macam slogan bagi menutup kegagalan sendiri. Terlalu angkuh untuk mengakuinya.

Di Malaysia ini, masyarakatnya terpisah secara ‘sistematik’ mengikut kaum. Lalu membentuk cara pandang yang sangat rasis. Setiap dari kita hampir tidak berbicara antara satu sama lain. Segala macam perkataan dibebankan dengan sentimen, prasangka perkauman. Keadaan inilah yang membuatkan idea-idea perkauman mudah terbeli. Kita menanggapi kaum lain hanya melalui prasangka yang dibina sejak sekian lama, tanpa ada usaha untuk memeriksa kesahihannya. Melayu berprasangka terhadap Cina, Cina berprasangka terhadap Melayu, begitu juga dengan India. Sebenarnya siapa yang kita mahu percaya dalam negara ini?

Interlok hanya sebuah novel, membakarnya tidak akan membuatkan segala punca masalah bangsa ini ikut hangut, malah bahangnya hanya akan menambah pedih luka yang sedia parah. Kita harus mula berinteraksi dengan penuh kesedaran bahawa negara ini sudah lelah dengan benci dan prasangka.

******

No comments:

Post a Comment