Tuesday, January 11, 2011

protes kenaikan harga makanan

Langkah jagat atasi protes kenaikan harga makanan

PROTES kenaikan harga barang keperluan, terutama makanan, yang bermula di Algeria dan seakan-akan melimpah ke jirannya, Tunisia, kini menimbulkan kebimbangan jagat. Adakah ia akan merebak ke Timur Tengah dan seluruh dunia ekoran kenaikan harga bahan makanan dan keperluan mutakhir ini? Tunjuk perasaan tidak terkawal yang bertukar menjadi rusuhan telah tercetus di Algeria minggu lalu selepas bahan makanan termasuk susu, minyak makan dan gula naik mendadak. Namun, sebahagian bahan asas masih lagi mendapat subsidi besar pemerintah Algeria.

Kini pemerintah Algeria, sebuah negara Arab yang kaya minyak, cuba mengawal keadaan dengan menambah subsidi dan mengurang atau meniadakan cukai barangan. Malangnya, sejumlah jiwa terkorban akibat protes ini apabila pihak berkuasa cuba mengawal keadaan. Hal ini menunjukkan negara kaya minyak sekalipun belum tentu dapat mengatasi kenaikan harga bahan makanan akibat iklim tidak menentu seperti bah di Australia atau kemarau yang menjejas pengeluaran beberapa negara pertanian utama.

Tampaknya dunia masih belum jera dengan kesan kekurangan makanan yang mencetuskan kemarahan rakyat di banyak negara beberapa tahun sudah. Antara lain, ia disebabkan usaha sejumlah negara pertanian menghasilkan bahan tani untuk dijadikan minyak pengganti petroleum. Akibatnya tanah ladang dirubah dan tidak menghasilkan bahan makanan untuk keperluan setempat dan dunia. Argentina, antara negara pengeksport hasil tani, telah cuba mengeluarkan produk soya untuk keperluan minyak pengganti di Amerika dan China. Malangnya, usaha Argentina hanya mencetuskan kekurangan bahan makanan lain seperti gandum.

Krisis Algeria, negara yang pernah dirundung malang oleh gugatan pengganas, dilaporkan bersebab kadar kemiskinan tegar dan pengangguran yang tinggi sehingga menyemarakkan kemarahan rakyatnya. Namun, jika krisis begini tidak diatasi dengan bantuan jagat, dikhuatiri satu kemelut lebih besar akan mencengkam dunia. Oleh itu, perlu ada kerjasama antarabangsa dalam mengatasi krisis bahan makanan dan agihannya sebelum ramalan Thomas Malthus (1766-1834), seorang paderi dan ahli ekonomi, yang menilai kekurangan makanan boleh membawa 'petaka' ke atas dunia, menjadi kenyataan.

*********

No comments:

Post a Comment