Wednesday, January 19, 2011

TEMASEK bayar denda $2.1 juta kepada Indonesia

19 Jan 2011

SINGAPURA

Oleh
Atiyyah Mohd Said

SYARIKAT pelaburan milik pemerintah, Temasek Holdings, akan membayar denda yang dikenakan mahkamah Indonesia sebanyak 15 bilion rupiah ($2.1 juta) atas kesalahan melanggar undang- undang antipersaingan di negara itu.

Temasek memutuskan demikian selepas ia dimaklumkan bahawa rayuannya agar mahkamah Indonesia menimbangkan keputusan kes itu, yang membabitkan sembilan rakan syarikatnya, ditolak.

Dalam satu kenyataan menerusi e-mel kepada Berita Harian semalam, Pengarah Urusan Kanan Hubungan Strategik Temasek Holdings, Encik Goh Yong Siang, berkata:

'Temasek kecewa rayuannya ditolak walaupun ia yakin tidak melanggar undang-undang antipersaingan Indonesia.

'Sebagai pelabur antarabangsa, Temasek terus mematuhi undang-undang dan peraturan di Indonesia dalam kegiatannya di negara itu dan akan membuat langkah susulan untuk membayar denda kepada KPPU,' ujarnya dalam kenyataan itu.

Badan pemantau persaingan, Suruhanjaya Indonesia bagi Penyeliaan Persaingan Perniagaan (KPPU), memutuskan pada November 2007 bahawa Temasek didapati bersalah kerana menjalankan amalan antipersaingan dalam pasaran telefon bimbit Indonesia.

Ini menerusi pemilikan saham dalam dua syarikat pengendali telefon bimbit domestik terbesar negara itu, PT Telekomunikasi Selular atau Telkomsel serta PT Indosat yang digunakan bagi mengawal harga.

Ia berkata pemilikan Kumpulan Perniagaan Temasek bagi Telkomsel dan Indosat menyebabkan lebih 50 peratus pasaran telefon bimbit dikuasai kumpulan itu lantas menyebabkan kurang persaingan dalam pasaran itu dan merugikan pelanggan.

Temasek juga gagal dalam rayuannya yang terakhir kepada Mahkamah Tinggi Indonesia pada 24 Mei lalu setelah mahkamah mengekalkan keputusan KPPU.

Setiap daripada sembilan syarikat berkaitan Temasek yang terlibat dalam kes itu dikenakan denda 15 bilion rupiah.

Bulan lalu, KPPU berkata ia sedang meninjau kemungkinan merampas aset Temasek bagi mendapatkan denda itu dan menekankan ia berhak berbuat demikian.

Pada masa itu, Temasek berkata ia tidak menerima notis mengenai denda tersebut.

Syarikat milik Temasek, Singapore Technologies Telemedia, menjual sahamnya dalam Indosat kepada Qatar Telecom QSC pada Jun 2008, selepas diarahkan oleh mahkamah supaya berbuat demikian.

Syarikat pengendali telefon terbesar Asia Tenggara, Singapore Telecommunications Ltd, yang sebilangan besar dimiliki Temasek, memegang saham sebanyak 35 peratus dalam Telkomsel.

No comments:

Post a Comment