Tuesday, February 8, 2011

Serongnya Barat Terhadap al-Quran

Pandangan serong Barat terhadap al-Quran

Bookmark and Share

Oleh MUHAMMAD IQBAL

Gambaran buruk barat terhadap Islam, Nabi Muhammad s.a.w, al-Quran, dan umat Islam memiliki sejarah panjang, sepanjang sejarah hubungan Islam dan Barat (Kristian). Pada masa-masa tertentu, gambaran negatif tersebut sengaja dimobilisasi sebagai usaha apologi (membela diri atau menutup kelemahan), meningkatkan citra agama Kristian dan Yahudi serta bangsa Barat di hadapan umat Islam.

Dan yang amat menyakitkan hati, mereka secara agresif menyerang keyakinan agama umat Islam. Terbaru sekumpulan penganut Kristian mengoyak helaian al-Quran di hadapan White House pada upacara memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001.

Bagi orang Barat Islam adalah “the work of devil” (kerja syaitan), manakala al-Quran itu adalah “a tissue of absurdities” ( memiliki sedikit kekarutan) dan Nabi Muhammad s.a.w itu “a false Prophet (nabi palsu).

Persepsi dan tuduhan buruk ini disusuli pula dengan beberapa peristiwa yang mengemparkan umat Islam pada bulan September 2005 di mana akhbar Lylland Posten menyiarkan lukisan 12 karikatur Nabi Muhammad s.a.w sebagai bentuk penghinaan terhadap agama Islam. Tidak cukup dengan peristiwa itu, paparan mengenai tentera Amerika di penjara Guantanama (Cuba) memijak dan mengoyak-ngoyak al-Quran sebagai menggambarkan kebencian yang amat sangat Barat terhadap Islam.

Dan kemudiannya, gambaran buruk terhadap Islam dicitrakan melalui penyiaran filem bertajuk Fitna oleh ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders. Filem tersebut dikatakan memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina serta mengkritik al-Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.

Filem ini juga dikatakan menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah al-Quran dengan antaranya menyelitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York. Mereka terlalu prejudis terhadap Islam dan cuba memancing kemarahan umat Islam dengan membuat tuduhan seolah-olah inti ajaran al-Quran menghalal atau menggalakkan keganasan.

Sedangkan hakikatnya terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru umat manusia agar mempunyai sifat timbang rasa dan mementingkan kedamaian. Bahkan ia adalah ciri khusus yang terdapat dalam al-Quran. Allah s.w.t yang menghendaki supaya semua hamba-Nya hidup di dunia ini dengan aman dan stabil serta taat kepada-Nya dalam keadaan menjauhi kekejaman, perbalahan dan permusuhan. Pada hakikatnya al-Quran juga memberikan petunjuk bahawa jalan yang baik dihimpun oleh suatu ciri iaitu kedamaian,ketenteraman dan ketenangan.

Antara lain firman Allah s.w.t bermaksud:

“Wahai umat manusia Kami jadikan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu berkenalan (dan beramah mesra serta bekerjasama antara satu sama lain), sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah (dari kalangan kamu) yang paling bertakwa di antara kamu(kepada-Nya).” (al-Hujurat: 13)

Tidak pernah dinafikan terdapat ayat-ayat al-Quran yang pada zahirnya membenarkan pembunuhan dan peperangan, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memburukan emij Islam kerana ayat–ayat tersebut ditujukan khusus kepadakuffar harbi yang menyerang dan mengusir umat Islam dan menganiayai mereka kerana semata-mata berlainan anutan dan fahaman.

Adapun kaum kuffar yang dapat hidup dan bekerjasama dengan mereka seperti kafir zimmi tetap dihormati dan diberi pembelaan sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka dia telah menyakitiku.” (Riwayat Bukhari)

Dalam alQuran Allah tidak pernah melarang umat-Nya untuk melakukan sebarang kebaikan terhadap kaum kuffar dan berlaku ‘adil terhadap mereka, mungkin berdasarkan maksud umum ayat inilah peristiwa sejarah Salahuddin al-Ayubi dikatakan pernah datang bertemu penglima Richard Berhati Singa untuk merawatinya ketika beliau sakit, padahal peristiwa tersebut berlaku pada masa peperangan.

Justeru, apa yang dilarang terhadap kuffar harbi yang memerangi umat Islam hanyalah pemberian wala’ kepada mereka bukan berlaku adil kerana Allah menyukai orang yang berlaku adil sebagaimana firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Jangan sekali-kali kebencianmu kepada sesuatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid a-Haram itu mendorong kamu menceroboh, dan hendaklah kamu ertolong-tolongan untuk melakukan kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu bertolong-tolongan atas (kerja) dosa dan perseteruan, bertakwalah kepada Allah kerana Allah amat berat seksa-Nya.” (al-Maidah: 2)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang menegak keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil (kepada sesiapa jua)kerana sikap adil itu lebih hampir kepada ketakwaan, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang kamu lakukan.” (al-Maidah: 8)

Al-Quran telah menetapkan tempat-tempat aman. Ia juga telah menentukan masa-masa aman serta keadaan yang mengamankan yang tidak dibenarkan padanya permusuhan, melakukan dosa, benci-membenci dan pertumpahan darah. Wahyu Ilahi ini menyeru ke arah kebaikan dan kebajikan dalam semua perkara. Ia juga menggalakkan persaudaraan, kesamarataan, kerjasama, berlembut, berbudi pekerti yang tinggi, merendah diri dan mempunyai sifat pemaaf. Malah tokoh Barat, Gustave Lebon, sejarawan tersohor sendiri pernah mengakui akan keagungan al-Quran.

Agama bertujuan menghubungkan manusia dengan Tuhan, dan tidak pernah bertujuan membangkitkan massa untuk melakukan suatu kekerasan atau penyerangan. Ajaran di dalam al-Quran juga mengharamkan perbuatan membunuh anak-anak, menanam bayi perempuan hidup-hidup dan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Selain itu, ia juga melarang menakutkan mereka yang telah menyerah diri untuk mendapatkan keamanan, memakan harta anak yatim dengan cara yang batil, mencuri dan merampas, bermegah-megah dengan gelaran, mengumpat, menyebar berita keburukan orang lain, berbohong, khianat, seterusnya melarang apa jua yang boleh menyebabkan berlakunya kegerunan terhadap orang lain.

Al-Quran secara jelas melarang pemaksaan keyakinan kerana tindakan kekerasan akan melanggar hal asasi dan hak kebebasan nurani. Suatu sistem keyakinan yang berbeza tidak dianggap penyebab sah untuk melakukan kekerasan atau perang dalam hukum Islam.

Al-Quran sendiri menegaskan dalam dalam surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud:

“Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam).”

Quran juga memperbolehkan serangan hanya demi menpertahankan diri ketika diserang atau diusir dari kampong halaman atau tidak diakui hak-hak asasi kita. Bahkan dalam kes-kes yang membolehkan peperangan, al-Quran tidak pernah mengizinkan pembunuhan ke atas orang yang tidak berdosa dan memerintahkan umat Islam untuk segera meletakkan senjata apabila pihak lain menuntut perdamaian.

Al-Quran juga menyebut bahawa salah satu nama Allah adalah “Al-Salam” yang bermakna damai (yang melimpah keamanan). Ini dipaparkan dalam surah al-Hashr ayat 23). Jelas bahawa seluruh ‘semangat’ yang ada di dalam al-Quran sesuai dengan konsep tersebut.

Dengan demikian, al-Quran melalui panduannya telah dapat merealisasikan apa yang terkandung di dalamnya, al-Quran, sesuai dengan konsep kepentingan manusia di dalam hidup mereka, yang mana perkara seumpama ini gagal dicapai oleh mana-mana perundangan atau pemikiran lain.

Ajaran Islam juga menekankan perpaduan manusia melalui kesamarataan, dan menyeru kepada kehidupan bersama antara semua bangsa manusia, orang dan kaum dalam suasana kasih sayang.

Perpaduan kemanusiaan ini diterimapakai oleh Islam bagi kehidupan bersama antara manusia termasuk seruan persaudaraan dengan mengenali antara satu sama lain, berurusan secara betul dengan membuang permusuhan dan perbezaan pendapat yang boleh membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah. Kitab suci al-Quran meletakkan kemuliaan manusia lebih daripada makhluk lain.

Kemuliaan ini adalah umum kepada semua manusia, tidak kira keadaan etnik, bangsa, warna atau status sosial atau harta benda. Undang-undang Islam menganjurkan hak kehidupan kepada semua, menjamin keperibadian roh, tubuh dan anak-anak, harta, akal fikiran, keturunan, dan agama.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.”

Ungkapan universal yang perlu digunakan pada era globalisasi ini, iaitu makna persaudaraan. Ia dapat ditunjukkan dalam pergaulan antara manusia secara menyeluruh. Yang dimaksudkan adalah saudara sesama manusia, kerana manusia seluruhnya merupakan keluarga besar, yang memiliki kesamaan dalam penghambaan kepada Allah s.w.t. dan sebagai anak cucu Adam.

Alangkah baiknya jika kita menggunakan ungkapan saudara untuk menyatakan hubungan antara umat Islam dengan warga bukan Islam. Dan yang dimaksudkan adalah saudara sebangsa atau senegara. Bukan saudara seagama, yang merupakan ikatan persaudaraan satu-satunya yang paling kuat dan kukuh dalam menjalin hubungan antara manusia.

Orang yang berprasangka bahawa seseorang Muslim harus membenci setiap orang kafir, tanggapan mereka itu jelas salah dan mengelirukan. Kerana Islam hanya mengharamkan cinta kepada orang yang menentang dan memusuhi Allah dan Rasul-Nya. Adapun orang kafir, tidak ada halangan untuk bekerjasamadan bermasra selama ia adalah teman atau tetangga yang tidak memusuhi atau memerangi orang Muslim.

Al-Quran mengajar para pengikutnya untuk menperlakukan setiap manusia dengan sebaik-baiknya dan terutama Yahudi serta Kristian yang sama-sama menerapkan tradisi keberagamaan yang berasal daripada Nabi Ibrahim, Musa, Daud, Isa, dan seterusnya Muhammad s.a.w.

No comments:

Post a Comment