Monday, March 7, 2011

Kenapa kami pelajari bahasa Melayu?

PUTRAJAYA 6 Mac - Walaupun berasal dari negara berlainan serta mengamalkan budaya yang berbeza, kesemua peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) petah bertutur dalam bahasa Melayu.

Menurut peserta PABM, keindahan budaya, muzik dan sastera Melayu merupakan faktor utama yang mendorong mereka mempelajari bahasa Melayu.

Pemidato dari United Kingdom, Jenny Maccalum berkata, beliau mempelajari bahasa Melayu kerana minat yang mendalam terhadap lagu-lagu tradisonal nusantara.

''Saya belajar dalam bidang muzik dan amat meminati muzik serta lagu-lagu Melayu, penguasaan dalam bahasa Melayu membantu saya mendalami muzik Melayu.

''Bahasa Melayu sukar dipelajari, saya mempelajari bahasa ini secara berkumpulan dengan kawan-kawan yang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di kampus Universiti Tenaga Nasional, dekat sini baru-baru ini.

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 8 Mac hingga 11 Mac ini.

Jika minat terhadap muzik nusantara mendorong Maccalum mempelajari bahasa Melayu, lain pula ceritanya dengan Genevieve Woods dari Australia yang meminati budaya Asia Tenggara.

''Saya amat meminati budaya Asia Tenggara khususnya Tamadun Melayu, minat yang mendalam mendorong saya melawat Indonesia dan Malaysia lebih daripada 10 kali," katanya.

Pemidato dari Perancis, Florian Sarboni pula berkata, bahasa Melayu wajar dipelajari kerana ia merupakan bahasa pertuturan yang paling utama di Asia Tenggara.

''Dengan mengusai bahasa Melayu, ia memudahkan komunikasi saya dengan penduduk di Asia Tenggara khususnya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya.

No comments:

Post a Comment