Friday, March 11, 2011

Lebuh raya baru akan mudahkan perjalanan ke Legoland Malaysia



Coastal Highway siap akhir tahun ini, Legoland tahun depan

Oleh Nur' Adilah Mahbob- Spore BH.

PEMANDU tidak lama lagi boleh menggunakan sebuah lebuh raya baru yang akan memendekkan perjalanan dari Johor Bahru ke zon Iskandar, Nusajaya, serta boleh membawa mereka langsung ke Legoland Malaysia.

Lebuh raya Coastal Highway sepanjang 14 kilometer itu, yang siap akhir tahun ini, akan memendekkan perjalanan dari setengah jam kini kepada 10 minit, menurut Pengarah IDR Resorts yang bertanggungjawab memajukan Legoland Malaysia, Encik Muhd Zainal Ashikin Muhd Rejab.

Legoland Malaysia di Medini, Nusajaya, sedang dibina dan dijangka siap tahun depan.

Menurut Encik Zainal, tapak taman bertema itu, yang seluas 23 hektar, atau seluas 30 padang bola sepak, akan terletak di sebelah Coastal Highway.

'Dari lebuh raya itu pengunjung akan dapat melihat pemandangan penuh taman Legoland sebelum mereka menjejak ke sini nanti,' ujar beliau ketika membawa wartawan meninjau tapak Legoland Malaysia itu baru-baru ini.

Kerja-kerja infrastruktur awal Legoland Malaysia sudah hampir siap manakala kerja mendirikan bangunan-bangunan dijadual bermula bulan ini.

Encik Zainal telah ke Eropah baru-baru ini untuk memeriksa permainan-permainan Legoland Malaysia yang sedang dipasang di sana.

Mengenai bayaran masuk ke taman itu nanti, beliau berkata harganya kompetitif.

Pengarah Operasi Kanan Legoland Malaysia, Encik Siegfried Borst, dari Legoland Jerman, telah ditugaskan menarik 50 kakitangan bagi pemasaran dan penjualan, sumber manusia serta kewangan.

Kerja menghasilkan model-model Lego sedang dilakukan bagi taman ikon Miniland, yang bakal mempunyai replika bangunan mercu tanda Asia, seperti Taj Mahal (India), Merlion (Singapura) dan Mahkamah Tinggi Malaysia.

Ditemui Berita Harian di bengkel model Legoland di kawasan perindustrian Nusa Cemerlang, penyelia pembinaan model, Encik Mohd Firdaus Rahiman, berkata tugas menghasilkan model-model itu sedang berjalan lancar.

'Kami sudah habis membina model mercu tanda pusat bandar Johor Bahru, termasuk bangunan-bangunan di Jalan Wong Ah Fook, Jalan Segek dan Jalan Meldrum. Sekarang kami sedang menghasilkan model masjid Putrajaya pula,' kata siswazah Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan (Rekaan dan Penghasilan) berusia 26 tahun itu.

Legoland Malaysia akan mempunyai lebih 40 permainan, pertunjukan dan tarikan, khusus bagi keluarga yang mempunyai anak berusia dua hingga 12 tahun.

Sekitar sejuta pengunjung dijangka melawatnya setiap tahun.

No comments:

Post a Comment