Monday, April 4, 2011

Poco poco tarian murahan

Baru-baru ini Mufti Perak mengeluarkan fatwa bahawa tarian poco poco adalah haram. Siti fikir tak perlulah ada yang nak jadi “pembela” poco poco menyalahkan Mufti mengeluarkan fatwa itu. Kita tak rugi malah tak memberi kudis pun kalau tak menari poco poco.

Siti tak fikir ada pihak yang terpekik terlolong apabila dilarang menari poco poco. Malah Siti fikir mereka menerima larangan Mufti dengan hati yang terbuka. Memanglah sebelum ini banyak juga wanita-wanita ternama yang galak sangat dengan tarian poco poco. Siti tak tahu kenapa tarian dari Filipina ini mereka suka sangat.

Itu dulu. Tapi sekarang Siti percaya mereka sudah insaf mempopularkan tarian sampah orang lain. Sedangkan negara kita banyak tarian tradisional Melayu, Cina atau India yang hebat. Populariti tarian poco poco menunjukkan sikap sebahagian dari kita yang suka sangat dengan apa saja datang dari luar, biarpun sampah sarap. Sekaligus menunjukkan kita berselera rendah.

Tarian poco poco adalah sampah sarap. Hebat menari poco poco bukan pengukur orang kita menghargai seni. Maka elok sangatlah kalau mereka yang minat menari segera beralih kepada tarian tradisional. Macam-macam langkah ada. Tarian kita buka lekeh tapi malangnya diperlekeh oleh puak-puak yang suka poco poco.

Kalau nak tahu, ini adalah tarian kelas rendah. Jadi buat apalah kita nak popularkan. Buat apalah ada yang menyanggah Mufti kerana nak jaga hati pihak tertentu yang minat poco poco? Macamlah kalau kita haramkan tarian poco poco kepada orang Islam, ia menjejaskan ekonomi negara. Macamlah hanya tarian itu saja yang sesuai untuk majlis sosial. Tarian zapin pun boleh menjadi tarian sosial.

Siti tak tengok di sudut agama. Tapi apa yang Siti tahu poco poco adalah tarian kelas rendah. Sampai ke negara ini diberi kelas tinggi. Ini kerana kalau dibandingkan dengan sekian banyak tarian kita, poco poco jauh di belakang. Jadi, biarlah poco poco hilang begitu saja, jangan mempertikai Mufti Perak. Kalau Mufti Perak kata tarian poco poco dibolehkan sekalipun Siti tetap anggap ini sejenis tarian sampah yang kita angkat jadi intan permata.

Jadi, pengharaman tarian poco poco tak menjadi isu kepada kita yang menolak semua seni yang buruk dari luar. Kena ucap terima kasih kepada Mufti Perak kerana membendung kita daripada terus mengagungkan tarian yang entah apa-apa, cuma di negara ini menjadi begitu elit sekali.

SITI JARUM: Tak selera nak menari poco poco.

No comments:

Post a Comment