Tuesday, July 3, 2012

KALAH PALEMBANG OLEH PELABUR

KALAH PALEMBANG OLEH PELABUR

PERNAHKAH tuan mendengar pepatah diatas?

Kalau tuan sudah mendengarnya adakah tuan faham makna dan maksudnya? Mengapa saya bertanya? Kerana ada orang Melayu menyebutnya tidak seperti diatas. Mereka menggodamnya sebagai Kalah Palembang Oleh Penabur, yang sangat berlainan makna dan maksudnya.

PENABUR ialah sejenis peluru senapang untuk menembak tupai, musang, monyet, keluang dan lain-lain binatang kecil yang sering menyerang durian dikebun.

Sebaliknya PELABUR pula ialah wang ringgit dan sen yang dilaburkan, yang dibelanjakan untuk berbagai-bagai tujuan, tujuan baik atau pun tujuan jahat.

Untuk memahami makna dan maksud diatas: ALAH PALEMBANG OLEH PELABUR , maka kenalah kita tahu sejarah. Mari kita dengar..........

Pada zaman dahulu kala ada sebuah kerajaan Melayu yang besar jajahannya dan kuat pula pertahannannya di alam nusantara. Pusat kerajaan itu ialah PALEMBANG, di selatan Pulau Sumatra, yang dahulunya terkenal juga dengan nama Pulau Perca ataupun Pulau Andalas.

Kata sahibul hikayat, , istana Raja Palembang dibina di atas bukit dan berpagar dengan pelbagai jenis buluh-buluh seperti buluh gading, buluh runcing, buluh betung, buluh berduri dan berbagai lagi termasuk buluh lemang.

Apabila Belanda cuba menyerang, maka askar2 yang mengawal istana tersebut dan beberapa buah mahligai lagi, serta balai-balai dan taman2 yang indah=indah diatas Bukit Seri Palembang itu, telah menggolekkan kayu-kayu bulat ( hari ini dikenali sebagai kayu balak ) kearah askar2 Belanda yang menyerang dari bawah bukit. Mengikut cerita selanjutnya, entahkan dongeng entahkan betul , yang diceritakan hingga sekarang, maka ramailah askar2 Belanda yang menjadi korban balak digelek ( perkataan hari ini digilis ) oleh kayu-kayu bulat yang menggelongsor datang dari atas Bukit Seri Palembang.

Belanda telah mencuba menembak Kota Buluh yang berlapis-lapis itu dengan peluru2 penabur, tetapi tidak berkesan dan memberi sebarang bahaya pun kepada pengawal2 dan hulubalang2 serta pahlawan2 yang taat setia menjaga istana raja mereka, siang dan malam bergilir-gilir berganti-ganti.

Diceritakan juga kononnya - kononnya - pada zaman itulah seluruh negeri Palembang dan jajahan takluknya sangat maju, makmur dan mewah seperti dapat dilihat dalam lipatan sejarah Wan Empok dan Wan Melini yang berhuma menanam padi di hulu Sungai Melayu di daerah Bukit Siguntang Mahamiru yang telah mengeluarkan buahnya emas dan daunnya pula dari bahan logam perak.

Penasihat kerajaan ( sekarang ini di sebut "think tank" ataupun pasukan otak bagus ) Belanda yang bertugas pada masa itu yang berasal dari Ambon, tetapi telah melanjutkan pelajaran di Belanda malah berbinikan perempuan Belanda dan masuk Keristian pula, telah mengesyurkan supaya menukar taktik penyerangan! - menukar strategi dengan menggantikan peluru penabur kepada " peluru pelabur".

" Apa itu peluru pelabur?"tanya Jeneral Belanda yang bermisai lebat berbentuk huruf S yang bertugas mengepung dan menyerang Istana Raja Palembang yang dipagari rapat dengan rumpun buluh yang tebal ( bukan kebal ) itu.

" Itu orang Palembang yang berasal dari rumpun Bangsa Melayu boleh dibeli dengan wang. tuan,"" kata pakar " think tank " dari Ambon itu.

" Oh, dia orang banyak suka dengan wang ringgit, eh?" Tapi macam mana kita boleh taburkan wang ringgit kepada mereka itu, askar2 Melayu yang berkawal di atas bukit sana?". Jeneral Belandan yang bodoh itu meminta nasihat dari penasihatnya yang bijak bistari. " Kita bukannya ada kapal udara" ( orang Sarawak kata "belon" bagi maksud kapalterbang ) , tambah Jeneral itu.

" Itu perkara gampang tuan!. Kata orang Ambon itu, yang pada masa revolusi bangsa Indonesia pada tahun2 40an dulu telah dicemuhi dengan gelaran " Belanda Hitam " ( Gampang ertinya mudah lagi senang ).

" Toh, bagaimana sih?", merungut Jeneral Belanda .

" Kita isi seberapa banyak duit syiling dalam guni2 dan karung2 , dan kita letakkan diatas beberapa ekor kuda padi dan kemudiannya kita halau kuda-kuda itu kearah atas bukit lari memanjat Bukit Istana Raja Palembang itu. Nanti tuan boleh lihat bagaimana kita dengan mudah boleh menawan Istana Raja Palembang itu, kerana duit-duit syiling yang bertabur tercampak kedalam rumpun-rumpun buluh itu akan dicari dan direbut-rebut oleh askar-askar Palembang itu, hinggakan pagar-pagar KOTA BULUH itu roboh dan runtuh.

Demikianlah asal usul pepatah " KALAH PALEMBANG OLEH PELABUR' . Adakah cerita ini cerita dongeng ataupun cerita betul, tidaklah saya tahu. Tetapi satu fakta ( satu kebenaran atau pun hakikat ) ialah orang baka Melayu memang mudah dibeli dengan wang ringgit, emas perak, kayu balak, binatang ternak atau pun gelaran2. Orang2 bukan Melayu yang telah lama di negara ini kebanyakannya sudah pun mengetahui kelemahan ini. Itulah sebabnya zaman sekarang ini ada istilah-istilah ' Ali Baba" dan Kassim Baba". Lesen Kontrektor Kelas F Melayu pun dah banyak yang digunakan oleh kontrektor bukan Melalyu.

Oleh kerana sifat-sifat lemah yang sentiasa ada pada orang Melayu semenjak dahulu kala atau sejak zaman bahari (zaman bahari? - bagi yang bertanya apa maksudnya zaman bahari? - sila rujuk Kamus Dewan ) hingga sekarang , maka terpaksalah dikeluarkan beribu-beribu bintang kebesaran pada tiap-tiap tahun, dan kerana itulah juga kes-kes rasuah banyak melibatkan orang Melayu, lelaki dan perempuan, yang sudah senang; tetapi menganggap diri mereka miskin, kerana belum ada kereta Mercedes, belum ada TV plasma warna, belum ada peti sejuk dan lain-lain benda moden. ( Pesaka PAK SAKO)

No comments:

Post a Comment