Saturday, January 22, 2011

'Apabila saya meninggal, robohkan saja rumah saya'

BEBERAPA perbincangan penting tentang masa depan Singapura telah diadakan di besmen sebuah rumah di Oxley Road pada 1950-an.

Tetapi persoalannya sekarang ialah apakah rumah nombor 38 itu akan kekal menjangkaui pemiliknya iaitu Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew.

Encik Lee sendiri menyentuh tentang rumah itu dalam temu ramahnya bersama satu pasukan wartawan akhbar The Straits Times bagi sebuah buku, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going, yang dilancarkan semalam.

Apabila perbualan bertukar kepada rumahnya yang Encik Lee gambarkan sebagai 'sebuah rumah besar tidak tentu arah dengan lima bilik tidur, dan tiga lagi di bahagian belakang yang asalnya digunakan sebagai kuarters pembantu', beliau berkata: 'Saya telah memberitahu Kabinet, apabila saya meninggal dunia, robohkan saja rumah tersebut.'

Sebabnya?

'Saya telah melihat rumah-rumah lain, Nehru, Shakespeare. Rumah-rumah tersebut bertukar menjadi tunggang-langgang selepas beberapa ketika. Orang ramai membetis dengan susah payah di rumah-rumah itu.

'Kerana rumah saya, rumah-rumah di kejiranan tidak boleh membina bangunan yang tinggi. Robohkan sahaja rumah saya dan ubah peraturan perancangan, bina bangunan tinggi, nilai tanah akan naik,' kata beliau.

Rumah Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru, dan rumah penulis drama Inggeris, William Shakespeare, telah dikekalkan di India dan England.

Dalam wawancara itu, Encik Lee telah ditanya tentang perlunya mengekalkan warisan Singapura, lebihlebih lagi rumahnya telah dijadikan tempat pertemuan yang melahirkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada November 1954.

Walaupun butir-butir tersebut tidak banyak, berdasarkan buku Men In White: The Untold Story Of Singapore's Ruling Political Party, rangkaian Oxley Road memulakan pertemuan mereka di besmen rumah Encik Lee pada lewat 1954, selalunya pada Sabtu antara 2.30 dengan 5.30 petang.

Encik Lee berkata kos untuk mengekal dan menyenggarakan rumah tersebut adalah terlalu tinggi, bahkan terdapat beberapa kerekahan di dindingnya, walaupun tiang-tiangnya masih utuh.

Rumah tersebut dibina lebih satu abad lalu oleh seorang pedagang Yahudi dan menjadi rumah Encik Lee sejak tahun 1940-an.

'Saya tidak fikir anak perempuan saya atau isteri saya atau saya, yang tinggal di situ, atau anak-anak lelaki saya yang membesar di situ, akan meratapi kehilangannya.

'Mereka mempunyai foto-foto lama untuk mengingatkan mereka tentang masa lalu,' kata beliau. ( BH Spore 22 Jan)

*******

No comments:

Post a Comment