Wednesday, January 19, 2011

S'pura perlu pikat pendatang muda - LKY

19 Jan 2011

SINGAPURA

MM Lee: S'pura perlu pikat pendatang muda

Langkah teruskan kerancakan ekonomi negara

SINGAPURA perlu memikat golongan muda warga asing sedang negara menghadapi kadar kesuburan rendah bagi meneruskan kerancakan ekonomi negara.

Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, berkata keperluan mendapatkan imigran muda adalah penting kerana dengan ketiadaan mereka, ekonomi negara kemungkinan bergerak perlahan.

Berucap dalam majlis makan malam Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura di Pusat Konvensyen Raffles City semalam, beliau berkata:

'Dengan kadar kelahiran yang rendah, kita dengan cepat semakin tua dan mengecut.

'Jadi kita perlukan imigran muda. Jika tidak, ekonomi kita akan bergerak perlahan seperti ekonomi Jepun.

'Singapura kurang dinamik dan kurang berdaya maju. Ini bukanlah masa depan untuk anak-anak dan cucu kita.'

Menurut Encik Lee, dengan sebab sedemikian, Singapura perlu menyambut kedatangan imigran baru dan membantu mereka berintegrasi dengan masyarakat Singapura.

'Generasi pertama akan mengambil masa berintegrasi tetapi anak mereka akan menjadi warga Singapura sepenuhnya.

'Saya telah menemui pelajar-pelajar sedemikian di sekolah-sekolah kita. Mereka menjalani perkhidmatan negara dan berkahwin dengan warga Singapura.

'Mereka akan meningkatkan jumlah penduduk dan kumpulan bakat kita. Singapura akan maju dan makmur dan bukan menurun dan semakin tua,' ujar Encik Lee.

Beliau berkata di sebalik pelbagai langkah dan insentif yang dijalankan pemerintah untuk menggalakkan perkahwinan dan kelahiran anak, kadar kesuburan terus menurun.

Kadar kesuburan pada 2008 adalah 1.28 dan menurun pada 2009 kepada 1.22.

Kadar ini terus menurun tahun lalu pada kadar 1.16.

Malah, kadar kelahiran di kalangan orang Cina terendah di kalangan bangsa lain pada kadar 1.02 pada 2010 - menurun daripada 1.04 pada 2008 dan 1.08 pada 2009.

'Ada di kalangan warga Singapura bimbang dengan persaingan daripada imigran baru. Pemerintah memahami keadaan ini dan mengambil langkah untuk memperlahankan kemasukan imigran dan pekerja asing.

'Kita juga membezakan dengan jelas antara warganegara dengan bukan warga negara untuk memberi lebih banyak faedah kepada warga kita, termasuk faedah-faedah yang tidak boleh dimiliki oleh warga asing dan penduduk tetap,' ujar Encik Lee.

Malah, Encik Lee turut memuji langkah Persatuan Suku Kaum Cina yang mengambil langkah tepat merapatkan hubungan antara warga Singapura dengan imigran baru melalui pelbagai aktiviti sosial dan budaya.

'Pemerintah akan menyokong usaha yang dijalankan oleh persatuan ini. Kita harus membantu mereka memahirkan diri dalam bahasa Inggeris yang diperlukan oleh mereka untuk berjaya di Singapura,' tambahnya.

1 comment:

  1. Berapakah jumlah peratusan darisegi rupabangsa imigran muda masuk ke Singapura?

    ReplyDelete