Thursday, January 20, 2011

TERASA PEDAS DENGAN LIDAH DR. MAHATHIR

Hujah pedas dan luncas Dr Mahathir tidak berasas

SAYA rasa tercabar mengikuti ulasan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (BH, 8 Januari).

Menurut kata-katanya yang tidak berasas: Melayu Singapura terpinggir dan tertinggal.

Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir. Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia.

Sungguh gagah menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh. Tapi nasib orang Melayu di rantau lain tidak pula beliau sentuh. Inilah bencana girang yang tidak terkawal lantaran terhanyut dek sanjungan dan tepukan yang dimahukan semasa berpidato, lantas melatah tanpa fikir.

Terbuai dengan populariti di alam siber dan blog, teguran menjadi berkesan jika dengan niat ikhlas tetapi jika diselaputi dengan rasa iri hati dan dendam, ia menjadi tidak keruan.

Logiknya, bukan parti-parti pembangkang sahaja penyebab dilema Melayu Malaysia, malah budaya memberi darjah-darjah penghormatan yang tidak tepat itu bukan menyatukan tetapi mengasingkan.

Sedar atau tidak, realitinya ialah sudah ada Melayu yang tersingkir, terpinggir, tercicir di tanah lahir Dr Mahathir.

Jangan marah kalau saya nyatakan begini:

Melayu Singapura mendaki tanpa menagih subsidi,

Islam bukan agama rasmi, tapi ibadah kami tidak terbasmi,

Pantauan agama di sini tidak muflis, sebab kita ada Muis;

Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah.

Korupsi di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut,

Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi.

Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan.

Haji Sallim Haji Ahmad (BH Spore)

**********

No comments:

Post a Comment