Monday, April 4, 2011

Bertaubat setelah 27 kali masuk penjara

WAJAR disokong penuh Program Pemulihan Pemasyarakatan banduan yang kerajaan lancarkan pada minggu lalu.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika perasmian:'' Program Pemulihan Pemasyarakatan bukan sahaja membantu banduan melalui proses asimilasi dan interaksi sebelum kembali ke pangkuan masyarakat, malah mampu mengurangkan kadar jenayah di negara ini."

Ia mengingatkan hamba kepada beberapa orang bekas banduan yang dikenali di Pulau Pinang suatu masa dahulu. Salah seorang pernah disiarkan ceritanya pada 1979 dalam Bintang Timur (akhbar diterbitkan di Pulau Pinang sekitar 70-80an). Judul ceritanya ialah '27 kali keluar masuk penjara' dan di bawah tajuk itu terpampang gambar banduan tersebut mengayuh beca di hadapan pintu Penjara Pulau Pinang.

Semasa rencana itu ditulis, dia tidak lagi menjadi penghuni tetap di Penjara Pulau Pinang yang dianggapnya sebagai 'rumah pertama.' Mata pencariannya setelah keluar dari penjara ialah mengayuh beca di sekitar bandar raya Georgetown.

Setelah 27 kali keluar masuk penjara kerana kes-kes curi dan pecah rumah, si banduan tegar yang hamba panggil Mat itu akhirnya 'bertaubat.' Rencana tersebut turut menceritakan bagaimana Mat memperoleh keinsafan untuk bertaubat.

Seorang majistret yang sangat mengenali Mat kerana dia terlalu kerap muncul di hadapannya di mahkamah, pada suatu hari telah menasihatkannya supaya menjadi orang baik dan menyuruhnya berkahwin kerana umurnya sudah menghampiri 55 tahun.

''Siapa yang hendak kahwin dengan penjenayah?'" kata banduan itu.

''Kalau ada, awak mahu jadi baik," jawab si majistret.

Memendekkan cerita, si majistret berhati mulia itu telah mengahwinkan pembantu rumahnya dengan Mat dan beliau turut menjadikan mereka keluarga angkatnya.

Menurut Mat, budi baik majistret itulah yang telah melembutkan hatinya untuk bertaubat dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai manusia yang tidak lagi menyusahkan orang lain. Selepas meninggalkan Pulau Pinang pada 1980, hamba tidak lagi mendengar khabar berita mengenai Mat. Mungkin beliau telah kembali ke alam baka.

Hamba pernah bertanya kepada Mat kenapa dia berulang kali mencuri. Katanya, kali pertama semasa remaja dia telah ditangkap kerana mencuri buah di kawasan rumah seorang pengurus ladang berbangsa Inggeris. Setelah didapati bersalah, Mat telah dihantar ke 'sekolah budak jahat'.

Bagaimanapun, selepas keluar daripada pusat pemulihan juvena itu, Mat sekali lagi ditangkap kerana kesalahan mencuri yang tidak dilakukannya, tetapi dia dituduh semata-mata atas sikap prejudis orang-orang kampung terhadapnya.

Kejadian kedua itu menyebabkan Mat sangat marah dan berdendam terhadap masyarakat. Lalu beliau mengulangi perbuatannya tanpa berasa serik walaupun banyak kali dipenjarakan. Bagaimanapun, atas sikap mulia seorang majistret, Mat akhirnya bertaubat.

Semoga Allah SWT mengampuni Mat dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas majistret yang berhati mulia itu.

Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. Dia mengampuni sesiapa sahaja walau dosa-dosanya terlalu besar untuk diampunkan oleh manusia lain. Syarat pengampunan ialah bertaubat, tidak mengulangi segala kesilapan yang lalu, buat seberapa banyak kebaikan dan berimanlah kepada Allah dengan penuh ketaatan.

Dosa yang Allah tidak akan ampunkan ialah mensyirikkan atau menyekutukan-Nya.

''Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang lain bagi sesiapa yang dikehendakki-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." 4 (An Nisaa'): 48

Oleh itu, orang-orang yang beriman juga wajar bersikap pemaaf dan pengampun terhadap orang lain.

Tersesat

Pemerintah dan masyarakat perlu memberikan peluang kepada manusia yang tersesat jalan dalam kehidupan yang penuh ujian. Malahan mereka yang pernah melakukan kesilapan tidak wajar dibiarkan bersendirian untuk kembali ke pangkal jalan. Mereka juga perlukan bantuan daripada kita yang tidak senasib dengan mereka.

Tanggungjawab membantu mereka adalah amal soleh. Bantu mereka dalam dua aspek, iaitu material dan rohaniah. Program Pemulihan Pemasyarakatan banduan yang kerajaan laksanakan perlu memenuhi kedua-dua keperluan atau setidak-tidaknya dari aspek material, iaitu keperluan mencari rezeki dan mata pencarian yang halal

Suatu masa dulu, sekitar 90-an, hamba dan beberapa orang sahabat daripada Persatuan Da'awatul Iman Malaysia pernah menemui pihak penjara untuk menawarkan khidmat memberikan bimbingan dakwah secara sukarela kepada banduan-banduan yang beragama Islam.

Ketika itu, Jabatan Penjara amat memerlukan bantuan badan-badan sukarela kerana kakitangan bahagian pemulihan mereka tidak mencukupi. Kami diberitahu bahawa banyak badan sukarela agama lain memberikan bimbingan keagamaan kepada banduan berbanding dengan badan-badan dakwah Islamiah.

Barangkali Jabatan Penjara sudah mempunyai cukup kakitangan kerana khidmat kami tidak diperlukan lagi selepas berdakwah di kalangan banduan di Kajang dan Simpang Renggam kira-kira dua tahun. Jika masih diperlukan, jemputlah badan-badan dakwah Islamiah untuk tampil memberikan bantuan secara sukarela.

Kerja berdakwah kepada banduan ini adalah amal soleh yang sangat besar kebaikannya. Di Amerika Syarikat, ramai banduan masuk Islam di dalam penjara termasuk peninju terkenal Mike Tyson. Mereka ini menerima dakwah daripada badan-badan dakwah dan pendakwah yang bergerak secara individu. Alangkah baiknya jika kita juga dapat menggiatkan usaha dakwah di kalangan banduan-banduan di Malaysia. - Mingguan Malaysia 2 Apr.

No comments:

Post a Comment