Monday, September 26, 2011

CABARAN UMAT ISLAM DI ALAF BARU

Adelaide, 11 Sept- “Islam tidak menolak hak-hak sebagai manusia, malah Islam amat menitik beratkan sifat kemanusiaan. Namun, ia mengancam akidah umat Islam apabila ‘human rights’ ini dijadikan satu ideologi kerana manusia menjadi asas dalam memutuskan semua perkara,”. Ini adalah antara pengisian daripada Pn. Norsaleha Mohd Salleh, pensyarah Usuluddin Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) kepada peserta program “Cabaran Umat Islam di Alaf Baru” yang bertempat di Parks Community Centre, pada Ahad lepas.

Menurut beliau, masyarakat perlu sedar akan ancaman Humanism, Pluralism, Syiah dan Kristianisasi yang melanda masyarakat Malaysia hari ini sebelum terlambat.
Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita ISMA dan Ketua Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga ISMA Pusat berharap supaya para pelajar yang belajar di luar negara dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat apabila pulang ke tanah air nanti.

“Tanggungjawab mengajak masyarakat ke arah kebaikan bukan hanya terletak pada ustaz atau ustazah sahaja malah perlunya kesedaran umat Islam untuk mengembalikan, membangunkan serta mempertahankan jati diri umat dan jangan sesekali dipandang kecil”, ujar beliau lagi.

Lebih membimbangkan lagi kira-kira 250 000 orang di Malaysia dianggarkan telah murtad dan ditambah pula dengan penyakit sosial remaja yang semakin membarah, berpunca daripada rosaknya hubungan dengan Allah. Serangan-serangan halus ini diulas dengan lebih lanjut dalam forum yang menampikan ahli–ahli panel iaitu Ustazah Norhayati Abdul Wahab, Dr. Hasimah Ismail dan Dr. Mohd Zaki Ibrahim bersama moderator, Dr. Rozanizam Zakaria.

Hadirin disarankan untuk kembali kepada ajaran Islam dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta bersama-sama dalam usaha pentarbiyahan dan mengadopsi gaya fikir baru dalam menghadapi ancaman-ancaman tersebut. Program ini telah dihadiri oleh masyarakat di Adelaide yang terdiri daripada para pelajar dan warga Malaysia yang bermastautin di sini .

Disediakan oleh,
Wartawan
Media ISMA SA

No comments:

Post a Comment