TAUBAT AMALAN AKAL, HATI DAN JASAD
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SAYID Qutub di dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran berkata: ``Kemudian Allah mengingatkan mereka pula bagaimana Dia telah memelihara hidup mereka di padang pasir yang tandus, dengan mengurniakan makanan-makanan yang aneka cita rasa tanpa mereka berusaha dan bersusah payah, dan melindungi mereka daripada bahang padang pasir dan kepanasan matahari yang membakar dengan tadbir-Nya yang Maha Halus.
DAN KAMI TELAH MENAUNGI KAMU DENGAN AWAN (DARIPADA PANAS MATAHARI DI PADANG PASIR) DAN KAMI TURUNKAN KEPADA KAMU `MANNA DAN `SALWA', (SERTA KAMI BERFIRMAN): ``MAKANLAH MAKANAN-MAKANAN YANG BAIK YANG TELAH KAMI KURNIAKAN KEPADA KAMU. DAN TIDAKLAH MEREKA MENGANIAYA KAMI (SEBAB MEREKA KUFURKAN NIKMAT ITU), TETAPI SEBENARNYA MEREKA YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI.
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BERFIRMAN: ``MASUKLAH KAMU KE BANDAR INI, KEMUDIAN MAKANLAH BENDA-BENDA YANG ADA DI DALAMNYA DENGAN SEPUAS-PUASNYA, APA SAHAJA YANG KAMU SUKAI. DAN MASUKLAH KAMU MELALUI PINTUNYA DENGAN TUNDUK (MERENDAH DIRI); DAN (MINTALAH AMPUN DENGAN) BERKATA: ``YA ALLAH AMPUNILAH DOSA KAMI''. SUPAYA KAMI AMPUNKAN KESALAHAN-KESALAHAN KAMU, DAN KAMI AKAN TAMBAH PULA PAHALA ORANG-ORANG YANG BERBUAT BAIK. (Surah al-Baqarah ayat 57 dan 58).
Firman Allah Taala: Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (daripada panas matahari di padang pasir). Sayid Qutub berkata: ``Berbagai-bagai riwayat menerangkan bahawa Allah telah mengumpulkan awan-awan untuk memayungi dan meneduhkan mereka daripada kepanasan waktu tengah hari. Padang pasir tanpa hujan dan awan itu merupakan sebuah neraka yang amat panas, dan apabila adanya hujan dan awan, udaranya menjadi lembut menyihatkan badan dan jiwa.''
Ibn Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: ``Dinamakan awan kerana ia meliputi langit''. Maksud `ghamam' sebagaimana kata al-Mawardi dalam kitabnya, an-Nukat wa al-'Uyun: ``Iaitu awan sebagaimana pendapat Ibn Abbas.'' Dan pendapat yang kedua, iaitu yang didatangkan malaikat pada hari Badar. Inilah pendapat Mujahid.
Seterusnya firman Allah Taala: Dan Kami turunkan kepada kamu `Manna'. Sayid Qutub berkata: ``Begitu juga berbagai-bagai riwayat menyebut bahawa Allah telah membekalkan kepada mereka makanan (manna) yang boleh didapati di atas pokok-pokok kayu. Rasanya manis seperti madu.''
Ibn al-Jauzi menyebut lapan pendapat berhubung maksud `Manna':
1. Iaitu yang terdapat pada pohon kayu yang dimakan oleh manusia. Inilah pendapat Ibn Abbas, as-Sya'bi dan ad-Dahhaq.
2. Iaitu Taranjabin, sebagaimana riwayat Ibn Abbas juga, dan merupakan pendapat Muqatil.
3. Iaitu Samghah, sebagaimana pendapat Mujahid.
4. Ia seperti Rub yang keras, sebagaimana pendapat Ikrimah.
5. Ia merupakan sejenis minuman seperti pendapat Abu al-'Aliyah dan al-Rabi' bin Anas.
6. Ia adalah gandum yang sudah dikisar seperti jagung atau seperti Naqie yang halus, sebagaimana kata Wahab.
7. Ia adalah madu sebagaimana kata Ibn Zaid.
8. Ia adalah Zanjabil (halia) sebagaimana pendapat as-Suddi.
Mengenai `Salwa' pula, Ibn Jauzi menyebut dua pendapat:
1. Sejenis burung, dan kata sebahagian mereka, sama seperti burung summani, dan kata sebahagian mereka yang lain, ia adalah burung summani.
2. Ia adalah madu sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Anbari.
Sayid Qutub berkata: ``Dan burung salwa boleh didapati dengan banyak dan mudah. Dengan awan yang meneduhkan dan bekalan makanan-makanan ini, mereka mendapat makanan-makanan yang baik dengan mewah dan tempat tinggal yang merehatkan. Allah telah mengurniakan makanan-makanan dan kedudukan yang baik kepada mereka, tetapi adakah mereka bersyukur dan menerima hidayah? Kenyataan akhir ayat ini membayangkan bahawa mereka telah bertindak zalim dan mengkufurkan nikmat-nikmat Allah dan mereka telah menerima akibatnya.''
Firman Allah Taala: Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: Masuklah kamu ke bandar ini. Sayid Qutub berkata: ``Sesetengah riwayat menjelaskan bahawa negeri yang dimaksudkan di sini ialah Baitul Maqdis, iaitu negeri yang Allah perintahkan Bani Israel supaya memasukinya setelah mereka keluar dari Mesir dan supaya mereka mengeluarkan kaum `Amaliqah yang mendiami negeri itu, tetapi kaum inilah yang tidak berani dilawan oleh Bani Israel.
Al-Mawardi mengemukakan tiga pendapat yang dimaksudkan dengan kampung atau tiga negeri:
1. Bahawa ia adalah Baitul Maqdis. Inilah pendapat Qatadah dan ar-Rabi' bin Anas.
2. Bahawa ia adalah kampung di Kota Baitul Maqdis. Inilah pendapat as-Suddi.
3. Bahawa ia adalah Ariha, sebuah kampung yang berhampiran dengan Baitul Maqdis. Inilah pendapat Ibn Zaid. Berkata Al-Imam al-Baghawi dalam tafsirnya yang dikenali sebagai Ma'alim at-Tanzil bahawa Ibn Abbas berkata: ``Ariha merupakan kampung golongan Jabbarin. Padanya ada satu kaum daripada saki baki `Ad. Dipanggil mereka itu dengan nama al-'Amaliqah dan ketuanya ialah `Auj bin `Unuq.
Ada pendapat lain menyebut, tempat tersebut ialah Balqa', ada yang menyatakan Ramlah, Jordan, Palestin dan Tadammur seperti pendapat ad-Dhahhaq, sedangkan Muqatil pula berpendapat Ilya'. Ibn Kaisan berpendapat, Kota Syam.
Firman Allah Taala: Kemudian makanlah benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai, iaitu makan dengan selesa dan mewah. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri), iaitu masuk ke pintu negeri tersebut dalam keadaan sujud kepada Allah sebagai lambang kesyukuran dan selamatnya kamu daripada kesesatan di padang pasir. Dan (mintalah ampun dengan) berkata: Ya Allah, ampunilah dosa kami, supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu.
Ada tiga pendapat mengenai perkataan `hittah':
1. Maknanya ialah minta ampunlah kamu semua, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan Wahab. Kata Ibn Qutaibah, ia merupakan kalimah yang semakna dengan istighfar.
2. Bahawa maknanya ialah, katakanlah perkara ini adalah hak dan sebenarnya sebagaimana dikatakan kepadamu. Inilah yang disebut oleh ad-Dahhaq daripada Ibn Abbas.
3. Maknanya ialah kalimah tauhid La ilaha illa Allah sebagaimana pendapat `Ikrimah.
Ibn Jarir at-Tabari berkata: ``Justeru makna katakanlah dan ucapkanlah kamu perkara atau kalimah yang boleh menggugurkan dosa-dosa kamu dan menghapuskannya.''
Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam kitabnya, Taubah Ila Allah (Taubat Kepada Allah) berkata: ``Taubat daripada segala dosa yang dilakukan oleh orang yang beriman semasa dalam perjalanan menuju keredhaan Allah adalah satu kefarduan agama. Ia diperintahkan di dalam al-Quran, dianjurkan oleh hadis serta disepakati oleh seluruh ulama tentang kewajipannya, sama ada ulama Mazhab Zahiriyyah, ulama Batiniyyah (Kebatinan), ulama fikah dan ulama suluk.
Sahl bin Abdillah at-Tustari pernah berkata: ``Sesiapa yang berkata bahawa taubat bukan perkara fardu, dia adalah kafir. Sesiapa yang redha dengan kata-katanya itu, dia juga kafir.''
Sahl bin Abdillah at-Tustari berkata lagi: ``Tidak ada sesuatu pun perkara yang wajib ke atas makhluk ini (manusia) lebih daripada taubat, dan tiada hukuman yang berat ke atas mereka lebih daripada kejahilan tentang taubat, sesungguhnya mereka tidak mengetahui tentang ilmu taubat.''
Hakikat taubat yang sebenar ialah amalan akal, hati dan jasad. Ia dimulakan dengan amalan akal kemudian diikuti dengan amalan hati dan membuahkan hasil, yakni kesan dengan amalan jasad. Justeru Al-Hasan al-Basri berkata: ``Taubat adalah penyesalan dengan hati, istighfar dengan lidah, meninggalkannya dengan anggota dan keazaman untuk tidak mengulanginya.''
Taubat menurut pentafsiran Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumiddin adalah makna yang terangkum di dalamnya tiga unsur:
1. Ilmu.
2. Keadaan.
3. Amalan.
Perkara pertama iaitu ilmu merupakan kemestian bagi perkara kedua, perkara kedua merupakan kemestian bagi perkara ketiga. Kemestian ini berdasarkan ketentuan sunah Allah di dalam alam.
Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik', iaitu Kami membalas sesiapa yang berihsan dengan sebaik-baiknya, dengan pahala yang besar dan balasan yang agung.
********