“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang berlebih-lebihan.”(Al A’raf: 31)
Monday, April 23, 2012
Kopi Pracampur Habbatussauda 4 in 1.
Al kisah aku mulakan cerita hari ini dgn cerita aku terbangun jam 3.30 pagi..tapi peluang untuk solat tahjud dilepaskan begitu sahaja. Selepas buang air kecil terus sambung tidur semula. Bangun untuk solat subuh jam6.10 pagi. Waktu Subuh masuk jam 5.51 pagi...selesai solat Subuh, baca wirid biasa diikuti dgn zikir. Kemudiannya baca Ayat 7 . Lepas tu baca pula surah Al Mulk dan diikuti dgn Surah Al Waqiah...kedua surah ini dah berjaya di hafal dgn izin Allah jua..sekarang in berazam untuk menghafal Surah Al Dukhan pula Insha Allah. Semasa di Kuching dulu dah dapat menghafal surah2 dari Al Jin sampai Surah An-Nas dibawah bimbingan Ustaz Bukhari Imam 2 Masjid Bandar Waterfron, Bandar Kuching. Tapi istiqomahnya sedikit kureng.
Tengah hari ke Pejabat Tenaga Nasional di Batu 5 bayar bil letrik sebanyak RM250.00. No giliran yang aku dapat ialah 1066. Memang tidak ramai pelanggan masa itu. Mengikut semakan dikaunter, baki outstanding sebanyak RM228.00 lagi yang tertunggak.
Kemudiannya ke RHB Kepong Baru, cek duit pencen bulanan. Memang dah masuk pun. Juga buat updating buku saing account.
Dari situ saya singgah di Minimarket Speedy999 berhampiran dgn Masjid Amaniah Kepong. Beli air mineral, minyak masak, kicap dan sos. Beli juga vitagen, madu lebah, kacang tanah roasted dan minuman milo dalam kotak bersaiz kecil. Jumlah harga semuanya RM61.00.
Lepas tu singgah pula di pasar malam Desa Jaya. Disitu aku beli durian yang dah di punggah kulitnya. 5 paket RM20.00 ( 2 paket RM10.00).
Kemudiannya singgah di Surau Al Ihsan di Taman Ehsan untuk Solat Asar. Waktu solat ialah 4.29 petang. Solat nya diimamkan oleh Tuan Haji Paiman @ imam bertugas tidak hadir. Bilalnya pula ialah Tuan Haji Bakar ex-DBKL ( Mag Gyver surau). Lepas itu singggah pula di kedai groceries untuk beli Cocoacrunch ( kegemaran cucu saya Aidan dan Imani ). Juga saya beli puding manggo.
Sebenarnya hari ini saya berpuasa sunat Isnin. Jadi bila sampai dirumah saya berihat menunggu waktu berbuka jam 7.20 petang. Saya minta isteri gorengkan macaroni untuk buat berbuka. Waktu petang begini saya temankan cucu saya menonton video kartun dan animasi.
Semasa berbuka saya dahului dgn buah korma yang saya beli dilobi PTG Gombak semasa hadir membuat semakan cukai tanah pada minggu lepas. Minumannya pula ialah Kopi Pracampur Habbatussauda 4 dalam 1 keluaran Agro Mas Malaysia yang saya beli di lobi Masjid al Faizin Desa Jaya dengan harga RM12.00. Setiap bungkusannya mempunyai 20 stik dengan berat bersihnya 20g @ stik.
Malam ini saya solat Maghrib dan Isyak di rumah sahaja. Kebiasannya saya berjumaah di Surau Al Ihsan.
Jam 9 malam terdengar loceng pintu digerakkan oleh seseorang. Rupanya Tuan Haji Syukor yang baru balik dari surau membuat lawatan luarjangka. Beliau mengajak saya ke mesyuarat tak rasmi PDM..(Pusat daerah Mengundi). Tempatnya di Restoran Adik Manja. Kami berdua menunggang kapcai. Sampai di sana , Faizal ( menantu Hj. Zainal BERNAS dan Hisyam Dato' Baharum dah sedia menunggu,. Kemudiannya menyusul Sdr Halim Manaf. Ada seorang anak muda yg aku tak dapat namanya. Kami bercakap mengenai tarikh PRU13. Kami juga meerancang mengenai perasmian pasukan jentera p-raya dan mesyuarat agung cawangan. Mulanya kami duduk dimeja diluar. Tetapi kerana ada sedikit rintik2 hujan, kami masuk kedalam. Aku nampak Hisyam memesan nasi ayam. Aku dan Hj Syukur memesan teh tarik dan tahu bakar.
Jam 11.00 malam kami dipaksa beredar oleh bunyi dentuman air hujan yang mula menghentam bumbung. Harga makanan semuanya dibayar oleh Haji Syukor. Kata Sdr Man yang mengusahakan Restoran ,, semuanya berjumlah RM10.00. Terima kasih Haji Syukor
Demikianlah coretan aku malam ini. Semoga anda suka membacanya. Salam mesra..
Friday, January 7, 2011
ANTARA FANDI DAN P. RAMLEE
6 Jan 2011 -
FORUM
Fandi lebih bertuah daripada P. Ramlee
SAYA merujuk rencana Agar Fandi tidak senasib P. Ramlee (BH, 1 Januari).
Pada hemat saya, P. Ramlee yang tidak bertuah seperti Fandi Ahmad.
Daripada pembacaan saya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak merasakan hidup yang mewah. Malah rumah yang beliau sekeluarga diami semasa hayatnya pun bukan miliknya tetapi disewa.
Mereka sekeluarga juga pernah makan hanya berlaukkan telur goreng.
Keadaan ini berbeza daripada kehidupan Fandi yang pernah mendapat julukan ‘jutawan sukan’ – memiliki rumah dan kereta mewah dan bermacam-macam lagi. Ganjaran yang diraih Fandi memang hebat, setimpal dengan kebolehannya sebagai pemain bola sepak tersohor.
Tetapi kita harus ambil iktibar dan menerima kenyataan bahawa kerjaya dalam bidang bola sepak ini ada had umurnya.
Saya ingin bertanya: Apakah berbaloi menaja wang sebanyak $300,000 untuk keperluan Fandi sekeluarga di Italy atas sebab mendapatkan pendedahan awal untuk anak-anaknya di kelab bola sepak di sana?
Singapura ada sekolah sukan yang disediakan pemerintah dan boleh menempatkan anak-anak Fandi dan mereka juga akan mendapatkan didikan akademik dan sukan.
Adakah kemudahan yang sedia ada di Singapura ini tidak cukup baik untuk anak-anak Fandi?
Dalam kalangan masyarakat kita, masih ada ibu bapa yang terkial-kial mengumpul dana untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran di luar negara.
Kita seharusnya peka apa yang lebih utama. Akhir kata, masyarakat yang berjaya ialah masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan, lebih-lebih lagi dalam zaman globalisasi yang amat mencabar ini.
Sharifah Norjannah Al-Qudsy ( CyBerita Singapura )
Tuesday, November 9, 2010
NIKMAT UMUR YANG PANJANG
-Azizi Hj Abdullah
‘Nikmat Panjang Umur?’
Pikun senyum sendirian. Dagunya diusap-usap. Diurut-urut janggut putihnya. Dalam keadaan terhenggung-henggung membawa sebakul sampah ke tempat membuang sampah kira-kira 110 meter dari rumahnya, Pikun terjumpa majalah Dewan Sastera lama. Bila diselak-selaknya, Pikun terbaca tajuk cerpen Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Masakan panjang umur satu nikmat! Bentaknya kepada Abdullah Hussain, penulis cerpen Dewan Sastera bulan Mei 2004 itu. Ketika itu gulung kain pelekatnya hendak terlondeh. Baju yang tidak dikenakan butang, mengerbang-ngerbang di tiup angin.
Pikun bukan kaki baca, apa lagi sastera. Tapi dia macam terpanggil membaca tajuknya yang sangat dibencinya itu. Isinya 4 muka tidak pun dipedulinya.
‘Siapa kata panjang umur, nikmat?’ Pikun mengepom pipinya, menarik pisau cukur yang matanya sudah tumpul dari ekur pipit hingga ke dagu. Cermin 16 x 16 inci itu sangat setia. Ketawa tidak mengeremot pun tidak. Lantunannya adalah wajah pikunnya sendiri. Berkedut dan kerepot.
Barangkali benar kalau Abdullah Hussain menganggap dia yang panjang umurnya satu nikmat. Dia mungkin ada tiga anak keliling pinggang setiap masa. Mungkin isterinya menyuap makan setiap waktu. Mungkin jiran-jirannya selalu datang membawa buah tangan. Mungkin beraknya ditadah mangkuk. Mungkin kencingnya disedia getah paip. Mungkin tidurnya di atas tilam yang cadarnya disalin sekali sehari.
Tapi apakah panjang umur satu nikmat? Nikmat apakah kalau sudah tua? Begitu seakan ditempeknya kepada SN Abdullah Hussain. Masakan enak kalau gigi sudah tinggal sepuntung? Masakan indah kalau mata sudah rabun? Masakan nikmat kalau terengah-engah? Masakan selesa kalau mengah-mengah?
“Hahhhh!” ditepuknya sekali pipi kanannya yang sudah bergaris-garis lusuh. Anehnya siapa pun tidak peduli. Kalau ada bini tentu bini tanya kenapa? Alangkah sepinya dan alangkah hinanya hidup tua seperti hari ini. Tidak ada siapa yang peduli. Dan itulah sunyi sebenarnya. Tidak ada siapa itulah yang menjadikan dia rasa sepi. Sunyi bukan nikmat. Sepi dalam usia kepikunan bukan nikmat. Jadi adakah panjang umur itu nikmat? Bohong. Abdullah Hussain sengaja mencipta kata-kata itu untuk menyedapkan hatinya. Bukankah panjang umur itu tua dan tua bukankah menyusahkan hidup?
Petang kelmarin ketika sampai di surau hendak solat maghrib dia terasa cukup hina apabila dalam keadaan hengung-hengung itu, badannya terasa hendak melayah. Mujur Dali, tukang azan sempat menyambar.
“Lain kali bawa tongkat, Pak Kun. Tongkat saya sedekah dulu, tak bawa?” kata Dali.
Apakah itu nikmat? Dia merasa sakit hati. Maka belum pun masuk Isya, dia sudah balik teraba-raba dalam samar cahaya bulan.
Sepatunya kalau ke surau, Samsullah yang patut papah atau bawa dengan kereta. Sepatutnya ketika hendak naik tangga surau dua takah itu, Samsullah pegang bahu atau lengan. Tapi malang Samsul tidak ada walaupun Samsul anak tunggal yang dia sayang. Sepatutnya Samsul beli kerusi roda, solat atas kerusi. Tapi tidak. Dia terpaksa duduk bersila solat.
Sepatutnya lagi, binilah yang urus semua. Tapi sayang bini sudah meninggal tiga puluh tahun yang lalu.
Pikun benci kepada umur panjang bukan kerana terjumpa majalah Dewan Sastera bulan Mei 2004 saja, tetapi sebelum itu pun dia sudah terasa benci tentang umur panjang. Tua banyak menafikan kelazatan dan keseronokan. Umur panjang bererti tua sedangkan tualah yang menyekat segala pergerakannya. Semakin panjang umur semakin sunyi rasanya, semakin sepi jadinya. Tapi peliknya dia tetap mahu hidup. Dia tidak mahu mati lagi. Dia ingin merasa nikmat dalam umur panjangnya. Dia ingin merasai sesuatu.
Sebulan yang lalu dia dibawa oleh Samsul ke bilik sewanya di bandar K yang jauhnya enam puluh lima minit dari rumah “Pak duduk di sini. Duduk sampai bila-bila. Pak tak payah balik lagi,” begitu kata Samsul dalam keadaan kalut-kalut hendak pergi kerja sebagai Pengawal Keselamatan di supermarket.
Dia tersengih gitu-gitu. Sedikit pun dia tidak merasa seronok. Pelawa Samsul macam semawa ayam. Diri sendiri pun tak lepas.
Sehari dia tinggal di bilik sewa Samsul yang masih belum menikah itu, dia sudah merasa sesuatu. Pikun tenguk ke luar hanya melalui jendela papan yang sudah terkeleweh. Memang di luar ada orang lalu lalang, ada kereta keluar masuk, ada kanak-kanak bermain, ada perempuan ke pasar, ada anak-anak gadis ketawa berkukik-kukik dengan telefon dipekup ke telinga.
Dua hari dia di bilik, Samsul asyik bertanyakan soalan yang sama. “Abah dah makan? Kalau abah nak keluar, jangan pergi jauh-jauh.” Kemudian selebihnya terdengar dengkur Samsul tidur siang kerana malam Samsul berjaga. Kalau kebetulan ada bersama, gelisah Samsul lebih dari gelisahnya.
“Aku nak balik!” akhirnya dia cuba mengelak dari gelisahnya yang mula ketara. Manakala Samsul pula semacam hendak berkata eloklah. Tapi Samsul cerdik. Dia tidak pun membantah. Dua puluh ringgit diberi dan Samsul menghantar dengan motosikal tak ada cukai jalan ke perhentian bas.
Dia balik mengulangi rasa sepi lagi. Balik seorang diri memang membosankan. Segenap ceruk sunyi menghimpitnya.
Hampir lapan puluh tahun memanglah dia sudah tua. Selayaknya dia sudah pikun. Memang pun Pikun tahu, apabila seseorang mula dipanjat tua, mahu atau tidak mahu jiwa raga, perasaan akan berpindah secara berdenyut-denyut kepada bangka dan bongkok. Tapi dia degil. Dia cuba tidak mau tunjuk tua. Tongkat yang dibeli oleh Dali, tukang azan surau dilemparnya begitu saja.
Petang itu, selepas asar dia duduk di depan rumah. Majalah Dewan Sastera yang diambil di tempat membuang sampah, dibacanya. Tapi malang ketika hendak membaca, matanya jadi kelabu. Puas dijegil beliak tapi huruf-huruf hanya nampak selari. Rasa-rasanya mahu juga dia mengetahui apa yang ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain itu.
Semalam dia teringat Tuk Guru Ustaz Azman membaca kitab di surau tentang peringatan hari tua. Dia memang pun sudah tahu dan berpengalaman hari-hari tua, bagaimana kelemahan menguasai seluruh tubuh, semua pancaindera dan seluruh anggota. Dia sudah mengalaminya.
Bagaimana Abdullah Hussain boleh kata panjang umur satu nikmat, bisiknya. Sayang dia tidak dapat membaca cerpen Abdullah Hussain dan dia menyalahkan dirinya sendiri kerana isi yang disampaikan oleh Abdullah, tidak diketahuinya.
‘Tuhan yang mencipta kamu dalam keadaan lemah, kemudian dijadikanNya kamu kuat sesudah lemah, kemudian dijadikanNya kamu lemah semula dan beruban sesudah kuat, Tuhan menjadikan apa yang dikehendakiNya, sedang Dia Maha Mengetahui lagi Berkuasa.’
Ustaz Azman yang bersuara lantang, berserban sebesar bakul itu membaca surah Ar-Rum ayat 54. Ketika itu dia hendak bangun ke bilik air. Mahu ditunjukan dia bukanlah di antara orang yang lemah sesudah dulunya kuat. Tapi dia terpaksa juga menongkat tangan di kepala lutut, melonjak punggung dahulu dari mengediang dan meluruskan lutut.
Semua anak jemaah melihat kepikunannya. Dia mengeremot muka menahan bisa lenguh. Jadah apa yang memalukannya. Sepatutnya di tengah orang ramai, dia terus membingkas seperti kucing bangun tidur.
‘Di antara kamu ada orang yang disampaikan kepada umur tua bangka, sehingga dia tiada lagi mengetahui sesuatu yang pernah dahulu dia mengetahui.’
Dia sangat jelas mendengar Ustaz Azman mebaca surah An-Nahl ayat 70. Ketika itu dia terasa hendak buang air besar. Cepat-cepat dia mengambil keputusan balik.
Tiba-tiba lamumannya terputus. Dia dikejutkan kedatangan Dali degan motosikal tuanya dalam keadaan membingit telinganya.
“Pak Kun silap pakai kasut semalam,” kata Dali ketika turun dari motosikalnya. “Itu kasut saya, ini kasut Pak Kun!” Dali ketawa terbahak-bahak.
Baru dia tersedar, semalam dia pakai kasut orang lain. Ketawa Dali menjadikan dia memaki hamun ketuaannya. Adakah dia sudah nyanyuk? Dia teringat ayat yang dibaca oleh ustaz semalam. Memang dia sudah pikun.
“Nak makan mee rebus, marilah!” kata Dali.
Dali memang anak muda yang baik. Dia cuma bekerja menjual mee dan bihun di waktu malam di depan rumahnya dekat surau. Dali yang sudah mempunyai tiga anak, bersama isterinya juga mengambil bapanya yang lumpuh tinggal bersama mereka.
“Jom!”
Dia mengeleng-ngeleng. Rasanya Dali bukanlah orangnya dia hendak menenggek di atas motosikal. Kalau Samsul yang ajak, memang patut. Samsul anak tunggalnya. Kalau Samsul ajak, dia akan kapuk pinggang Samsul kuat-kuat. Biar kapukannya itu disedari oleh Samsul, bukan kapukan takut tetapi kapukan rindu. Tapi Samsul tidak pernah pun ajak naik motosikal bersiar-siar. Ada tak ada, hanya menghantar ke perhentian bas. Itu saja.
Kalaulah Samsul balik, mau diajaknya ke pekan. Mau di ajaknya makan mee rebus. Mau di ajaknya Samsul ke masjid solat bersama-sama. Biar jemaah tahu, Samsul anaknya bawa bapanya ke masjid. Biar orang tahu Samsul juga ada motosikal.
Tapi Samsul selalu berdalih apabila dia hendak naik motosikal. “Motor saya tak ada cukai jalan,” kata Samsul.
Satu hari apabila Samsul beritahu motosikalnya tak ada cukai jalan, dia cepat-cepat mengeluarkan dompetnya. Diunjuknya RM30. Samsul mengambil tanpa berkata apa-apa. Petangnya apabila Samsul balik, dia pun ajak Samsul. Ingin benar dia hendak memeluk pinggang Samsul. Masakan tidak boleh. Bukankah pinggang Samsul pinggang anaknya. Tidak ada topi keledar tak mengapa. Dia akan pakai serban. Tapi Samsul menjawab selamba: “Mana boleh. Motosikal ni dah lama tak ambil cukai jalan. Kena test Puspakom dulu!”
Dia tak tanya pun apa dia Puspakom. Dia cuma menelan air liur dan terbongkok-bongkok duduk di anak tangga. RM30 juga tak diminta. Dia tahu Samsul guna duit itu.
Kerana itu dia serik ke bilik sewa Samsul di bandar. Biarlah dia menghadap sunyi bersama sepi. Biarlah duduk keseorangan melentang abau di tengah rumah atau berjuntai kaki di bendul tangga. Dia tetap Samsul akan balik juga sekali sekala dan dia berharap Samsul akan mengerti, ubat sepi paling mustajab ialah apabila anak balik ke rumah.
“Bohong!” akhirnya dia melempar majalah Dewan Sastera yang dijumpainya di tempat sampah itu. Bencinya bukan kepada majalah lusuh itu tetapi benci kepada tajuk cerpen Abdullah Hussain tentang panjang umur satu nikmat.
Memang, memang dia tidak pernah merasa nikmat sepanjang hidup dan dia sendiri tidak tahu bentuk nikmat. Cuma sejak tua inilah dia rajin sedikit ke surau. Memang benar kata-kata Ustaz Azman nikmat yang besar ialah sihat. Nikmat yang besar ialah Islam.
Dia mengeleng-ngeleng kepala di depan cermin sebaik-baik saja dia balik dari mendengar bacaan kitab itu. Dia berkata kepada wajah kedut dan pikunnya bahawa dia tidak merasa apa-apa. Dia sudah merasa tidak sihat apabila sudah melebihi 70 tahun. Batuk, lenguh, sakit pinggang, urat, mengah, lelah, gout, penat. Paling tidak gatal. Nikmat Islam juga dia tidak pernah rasai. Muda-muda dulu tidak sempat solat. Seharian kena jaga kedai biliard. Kena jumlah point. Kena angkat minum sejuk termasuk bir. Paling tidak ramai kongsi tafsir mimpi kemudian cari buku tafsir empat nombor ekor.
Waktu itu Samsul bersekolah. Dia tidak tahu Samsul bersekolah hingga tingkatan berapa. Ketika dia di kedai biliard, dia tidak tahu Samsul baca buku atau buat apa. Bila dia balik Samsul tidak ada di rumah. Bila Samsul balik, dia pula keluar rumah. Masa itu dia memang tidak sunyi. Dia tidak pernah rasa sepi. Bising, pertengkaran kecil, ketawa dari pelanggan pemain biliard adalah suasana rutin. Paling tidak mereka masing-masing menepuk dahi apabila nombor ekor selisih dua atau tiga. Mereka saling menyalahkan tafsiran, bukan mimpi atau nombor ekor empat digit itu.
Akhirnya ketika umurnya 60 tahun baru dia tersedar dan bertanya kepada diri sendiri, sampai bila dia mahu menjadi tukang hitung mata permainan bola golek dan berlaga itu? Maka dia pun berhenti. Ketika itulah baru dia merasa sepi, sunyi. Baru terkenang isteri yang mati tiga puluh tahun yang lalu. Baru menyesal tak menikah lain untuk memenuhi rasa sepi dan sunyi.
Samsul bukan galang ganti ibunya yang meninggal. Samsul boleh ada boleh tak ada ketika itu. Tapi kini barulah dia tersedar tapi Samsul pula semakin renggang.
“Tak bolehkah kau kerja di sini saja?” katanya pada Samsul lima tahun yang lalu apabila Samsul memberitahu yang dia dapat kerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah supermarket.
“Di sini nak kerja apa?” tanya balik Samsul yang gempal tubuhnya itu.
Pertanyaan balik itu menjadikan dia tidak dapat jawab. Akhirnya Samsul kerja di bandar. Sewa bilik. Tak pernah balik. Kalau balik pun tiga empat bulan sekali. Balik pula bukan balik kerana rindu tetapi nak ambil apa yang ada.
Semakin sepilah dirasanya. Semakin sunyilah ia sebagai seorang bapa. Dicuba hambat sepi dan sunyi. Akhirnya baru dia kenal surau dan sememangnya pun surau layak untuk orang-orang berusia sepertinya. Di surau dilihatnya ramai yang gemar mengisi masa lapang. Dia melihat mereka tidak pun sepi dan sunyi. Tapi malangnya dia tidak mampu berbuat begitu. Mau berzikir dia tidak minat langsung. Terasa bosan. Mau membaca Qur`an selepas solat, dia tidak mampu mengenal ayat-ayat di dalam Qur`an. Akhirnya dia hanya menjadi jemaah setia dengan hanya bersandar di tiang surau, duduk tersorok di sudut surau jika ada ustaz-ustaz yang membaca kitab.
Petang itu dia solat maghrib di rumah. Sangat panjang doanya. Dia memohon kepada Allah agar ditemuinya seorang perempuan, kiranya lebih tua darinya pun tidak mengapa. Kali ini dia mahu mencari isteri, setidak-tidaknya peneman sunyi, selain dari menjadi ibu rumah untuk sama-sama makan minum. Huduh pun tak apa asalkan perempuan itu sanggup tinggal bersama.
Dalam simpanan rasa-rasanya cukup untuk belanja hantaran dan mas kahwin. Sebanyak manalah sangat harga seorang janda.
Samsul mungkin boleh tolong cari atau tolong kira bicara. Kalau dia berkahwin Samsul tentu gembira mendapat emak baru walaupun sudah berpuluh tahun Samsul tidak berpeluang menyebut emak. Kalau Samsul tidak mahu, dia boleh minta tolong Dali. Cari yang boleh jaga sakit demamnya. Cari yang susah, bukan yang kaya. Cari yang anak-anak sudah besar panjang.
Tiba-tiba seperti yang dijanji, terdengar Samsul balik dengan motosikal yang tidak ada cukai jalannya. Dia berAlhamdulillah berkali-kali. Pucuk dicita ulam mendatang. Samsul seperti tahu-tahu akan hasratnya.
Disambutnya kepulangan Samsul lebih dari yang sudah-sudah. Sepelas makan nasi bungkus yang dibeli oleh Samsul, dia bersila di depan Samsul. Tapi mulutnya terkunci. Dia hanya melihat anaknya yang sudah besar panjang, yang tidak pernah merasai kaya dan mewah, malah tidak pula merasai bagaimana bersama seorang isteri.
Dia juga nampak Samsul seperti hendak bercakap sesuatu. Pertembungan itu menjadikan dia dan Samsul seperti bisu. Apakah Samsul ada perkara yang mustahak menyebabkan dia balik? Tapi dia juga amat mustahak hendak bercakap dengan Samsul.
“Pak nak cakap sesuatu, Sul,” akhirnya dia dapat meluah hasratnya yang terbuku itu.
“Saya pun ada hal, Pak,” jawab pula Samsul.
“Sebab tu kau balik?”
Samsul angguk-angguk. Rokok daun tembakau jawa dipilin-pilinnya.
“Pak berharap kau balik. Mujur kau balik.”
“Mustahakkah Pak nak cakap?”
“Kau pun mustahakkah?”
Samsul angguk-angguk. “Bukan saja mustahak, tapi harap sangat.”
“Cakaplah.”
“Paklah yang cakap dulu.”
“Tak apa, kau yang cakap dulu.”
Samsul mengalih sila. Merenung arah pintu. Bersandar ke dinding dan melepas nafas sesaknya. Berkali-kali mengemut puntung rokok daunnya. “Begini, Pak pun tahun saya sekarang hampir 40 tahun.”
“Memang pun dah tua.”
“Saya dah ambik keputusan, tapi maaf kerana tak berunding dengan Pak lebih dulu.”
“Tak apa, kau dah besar panjang.”
Samsul merenung amat lama seperti mahu mempasti apakah bapanya di hadapannya.
Dia pun membalas renungan itu, seperti memberitahu bahawa dia adalah seorang bapa.
“Pak, saya dah buat keputusan, saya nak menikah!”
Dia terpanggung kepala tetapi kemudiannya tunduk mengerunas tikar getah yang sudah tercalar balar. “Alhamdulillah,” bisiknya. Dia mahu Samsul memberitahu habis kemudian barulah dia akan memberitahu hasratnya pula. Moga-moga kenduri dua tiga talam dapat dibuat sekali.
“Tapi saya tak cukup duit, Pak. Saya nak minta Pak bantu sikit.”Seperti halilintar memjunam ke bumi tapi akhirnya jadi senyap. Kiranya permintaan Samsul tidak menjejas hasratnya.
“Berapa?”
“Pak tahu sajalah belanja sekarang. Itu pun perempuan biasa saja. Kerja kilang. Bujang.”
“Yalah, berapa?”
“Saya rasa dua ribu cukuplah. Ada rezeki saya bayar balik nanti.”
Dia macam hendak terlentang. Kali ini benar-benar dia rasa pikunnya melanyak menghuli lembik tenaganya. Setahunya, dalam simpanannya hanya ada seribu dua ratus. Mahukan dua ribu, di mana mahu dikerobek. Bukan itu saja, kalau yang ada diberi, bagaimana dia dapat menikah pula?
Suasana sepi agak lama. Dia tidak berkata apa-apa pun. Dia cuma tunduk dan mengeluh beberapa kali. Manakala Samsul, dia sudah merasa kecewa. Harapannya nampaknya sukar ditunai. Lalu dia pun bangun memakai baju.
“Saya balik dulu. Nak kerja malam ni,” kata Samsul bersahaja tapi nampak sangat kecewa.
Dia tunduk lagi. Dengan apa dia hendak diberi jika sebanyak itu? Jika yang ada diberi, bererti dia akan terus membujang. Apakah dia mesti memilih, mengisi kesepian atau terus tidak terisi? Yang meminta bukan orang lain. Samsul anak sendiri. Tapi Samsul juga sudah lama mensunyikan hidupnya, menyepikan hidupnya.
“Bila kau nak menikah?” tiba-tiba itu yang ditanya ketika Samsul membuka pintu hendak turun.
Samsul nampak ceria. Dia merenung bapanya seperti bapanyalah yang ada di dalam dunia ini. “Sebolehnya cepat,” kata Samsul.
“Pak ada seribu saja, tapi duit itu Pak nak buat belanja menikahlah!”
“Tak apalah. Saya cari tambah seribu lagi,” Samsul sangat ceria.
“Takkkk...duit tu Pak nak guna.”
“Pak nak menikah?” Samsul terbeliak mata.
Dia angguk dan tersenyum.
Samsul bergegas turun. Bunyi injin motosikalnya dihidupkan sangat mengejut dan kemudian terdengar teranan injin motosikal buruk itu seperti hendak pecah.
Dia terlepuk di muka pintu. Mungkinkah sepinya akan memanjang lagi?
Friday, August 20, 2010
ISTERI BERTUAH VS SUAMI MITHALI
Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa isteri ke 'Mahkota Medical Centre', dia mengadu kepada saya kepalanya pening, rasa mual dan badanya lenguh-lenguh. Saya tanya dia"mengandung kot?" Dia kata tak ada. Oleh kerana 2-3 hari macam tu saja,saya bawak dia jumpa doktor dan ternyata.... isteri saya mengandung dua bulan. Emmm saya dah agak dah.Maka bermulalah cerita baru dan haluan sejarah masa depan akan pastinya berubah lagi.
Dia akan merasa loya dengan bau yang sebelum ini senang baginya, termasuklah bau badan saya. Morning sickness yang teruk sekali bagi isteri saya.Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa. Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak. Adakalanya isteri saya semalaman tak dapat tidur, kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai saja solat Isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur
kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya. Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu, sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya sudah tahu macamana nak elakan insomnia yang dialaminya, iaitu dengan membaca Al-Quran sehingga isteri saya terlelap.Memang kebiasaan sebelum mengandung pun saya akan membaca Al-Quran diatas katil di sisi isteri sebelum tidur
sehinggalah dia terlelap.
Sekarang saya terus membaca Al Quran disisinya sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam kandungan. Adakalanya sampai 2-3 jam.Bukan itu sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya ceritakan padanya ialah tentang tauhid. Saya bermula dengan kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab 'Kasyaful Mahjub'. Mungkin ada pembaca yang berkata
saya terlalu ghairah, kebarangkalian untuk janin survive masih tipis. Tapi mana ada ayah yang tak berharapan. Segarang-garang harimau pun tak makan anak, apatah lagi saya. Apa yang akan berlaku pada kemudian hari adalah diluar bidang kuasa saya. Siapa saya untuk mempersoalkanya.
Saya bercerita kepadanya tentang Allah, zat, sifat, asma, afal. Dan cerita itu kembali bercerita kepada diri saya. Adayang menghantar
email dan bertanya bagaimana mahu mensihati anak agar tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.Tak kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?
1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).
2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.
3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.
4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan berselawat, banyak bersabar.
Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda
5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.
Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah "Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan". Kalau didengar pernyataan ini tentu aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah di didik. Namun apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah di didik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logik akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih
segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.
Saya bacakan kisah ini kepada janin yang sedang membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh
Luqman Al Hakim kepada anaknya. Saya bacakan kisah para rasul, para nabi,wali songo, tujuh wali melayu kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara saya tidak terlalu kuat, bimbang didengar oleh jiran, apa pula kata mereka nanti.
Dalam kepekatan malam, isteri saya sudah pun yenyak dibuai mimpi. Saya baru selesai membaca surah yasin disisi isteri hingga dia terlelap. Saya kehalaman rumah, mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi saya semenjak kecil semenjak di rumah anak-anak yatim piatu, saya bawa hingga kini. Langit agak terang dan bersih. Saya bersandar dibangku marmar. Kalau isteri saya sihat pastinya dia menemani saya disini, kami akan bercerita tentang segala-galanya, tentang masa depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan.
Saya terus merenung langit malam, saya anak yatim piatu yang ditinggalkan ditengah padangrumput,sehingga sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini saya akan menjadi ayah. Bermula dari saya akan wujud salasilah keturunan yang baru.Saya bertekad dalam hati, Insyallah jika anak ini lahir, dia tidak akan saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya biarkan menagih kasih dirumah kebajikan.Dia tidak
akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu dibohongi yang teddy bear adalah'mama'nya seperti saya. Air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia tumpah.Oh! janganlah tumpah lagi.Sudah terlalu banyak tertumpah.Kalau mahu tumpah biarlah ketika sujud menyembah ilahi.Pesan guruku air mata lelaki jangan ditumpahkan sia-sia.
Saya tidak mahu terus melayan perasaan,segera saya kuncikan pintu dan ke kamar tidur.Isteri saya telah pun nyenyak dibuai mimpi.Inilah 'bintang timur' dalam hidup saya.Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam hidup saya,memberi harapan,keyakinan,kesetiaan dan
cintanya kepada saya.Insyallah tidak lama lagi,akan muncu 'bintang timur kecil' dalam hidup saya.
Thursday, August 6, 2009
CERITA REKAAN
"Rugi la jadi kao lembu. Badan kao kecik, daging kao sikit. Bakti kao kepada penternak sikit sekali," Ujar Unta dengan penuh yakin.
"Tak, kao silap cik Unta. Kalau kao nak cakap pasal daging, maka kambing lah binatang yang lebih rugi," Balas Lembu dengan bibirnya menjuih ke arah Kambing.
"Loh, korang ni buta ke? Ayam tu lagi kecik dari aku. Dah la daging sikit, pagi - pagi buat bising plak," Tengking Kambing dengan nada tak puas hati.
"Ape plak, aku bising sebab nak kejutkan manusia..tu pun salah ke? Sekurang - kurangnya daging aku, orang boleh makan, tapi tengok kucing tu, daging tak leh dibuat lauk, tiap - tiap hari menempel dan memperabiskan lauk ade la," Ayam berkata sambil matanya tepat memandang kucing yang sedang menjilat - jilat bulunya.
"Wei ayam, memang keje aku perabiskan lauk untuk tuan aku. Tapi tu untuk elakkan pembaziran. Kan orang yang suke membazir tu saudara setan. Aku, kalau orang pegang, kurang - kurangnya tak perlu basuh tanGan tu. Tapi si Anjing, kalau tersentuh, ha..kena samak la jawabnya," Jawab Kucing dengan tenang.
"Aku, mewakili anjing - anjing yang lain, memang mengaku, ko Kucing, tak salah. Betul - sebetul betulnya. Namun, khidmat aku pada manusia pun ada. Baru - baru ni kaum anjing ada terima anugerah "Man's Best Friend", korang pernah dapat? Ini semua kerana kami membantu manusia menjaga rumah dan menghiburkan mereka. Cik Ba Alif Ba Ya lah yang paling rugi sebenarnya," Kenyataan itu membuatkan semua binatang di seluruh alam rimba menoleh ke arah Khinzir yang sedang berkubang dalam lopak lumpur tak jauh dari tempat mesyuarat tersebut.
"Kalau aku korang kata rugi, ada yang lagi rugi daripada aku.. al least kalau aku mati, aku tak kena HISAB, macam MANUSIA," dengan selamba Khinzir menjawab dan menyambung hobinya itu.
p/s : cerita ini rekan semata-mata, bukan untuk menghina sesiapa cuma sekadar peringatan kepada diri penulis. Sekian
Demi masa, Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, Kecuali orang - orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.Surah Al A'sr - ayat 1 hingga 3
>
Thursday, July 23, 2009
Hikayat Gadang Perkasa
Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan ada seorang berhuma diam di Tapah. Hambanya Gadang namanya. Asalnya orang Tambun; senantiasa diperintah tuannya menebas menebang. Sekali peristiwa, Gadang menahan lukahnya di dalam sungai. Menjelang pagi dilihatnya lukahnya kosong. yang tinggal hanya sisik ikan dan tulangnya sahaja. Demikianlah yang terjadi kepada Gadang setiap hari. Setiap hari jualah Gadang membuang sisik dan tulang ikan ke dalam sungai. Adapun sungai itu dinamai orang Sungai Kinta pada hari ini. Maka terfikirlah Gadang di dalam hati, "Siapa gerangan yang makan ikan dilukahku ini? Biar kuintai supaya aku tahu siapa yang empunya kerja." Suatu hari bersembunyilah Gadang di balik semak. Nampaklah olehnya akan hantu air datang lalu mengangkat lukahnya. Matanya merah seperti biji saga atau macam kereta Proton Saga warna merah, rambutnya menggerbang seperti rambut David Arumugam dan janggutnya panjang mencecah air sungai. Gadang pun memberanikan hati persis besi berani walupun ia sebenarnya takut melihatkan rupa hantu air tersebut. Elok jualah ketika itu hari masih siang. Kalau malam sudah pasti Gadang dah belah. Hendak rugi berapa kilo ikan sekalipun dirinya tidak kisah. Susah-susah beli sahaja ikan di pasar Tapah. Maka disebabkan Gadang dah terlajak ke depan, tambah-tambah ada senapang patah di hujung tangan, Gadang pun menangkap hantu air itu. Maka kata Gadang, "Mengapa engkau suka makan ikan aku? Engkau tak nampak ke kat lukah ni ada nama aku, ni hah? G.A.D.A.N.G - Gadang! Sekarang terimalah hukuman mati mandatori daripada aku!" Setelah mendengar kata Gadang itu, hantu air itu pun dengan terketar-ketar merayu. Maka kata hantu itu, "Janganlah engkau bunuh aku, janganlah aku engkau bunuh dan janganlah kita saling bunuh-membunuh semata-mata kerana ikan. Rayunya lagi, "Aku hantu yang lemah, hanya mampu berserah dan pasrah ...!" sambil mengharapkan belas kasihan daripada Gadang dengan linagan air hidungnya. Kemudian hantu itu menambah lagi, "Aku sanggup menunaikan apa saja permintaan engkau asal saja aku tidak dibunuh...." Maka terfikirlah Gadang di dalam hati, 'Jika aku nak buat permintaan lagu, hantu air ni bukannya juruhebah radio; jika aku hendak kaya, aku dah biasa makan roti kaya; jika aku hendak jadi orang berwang tentu aku tak reti gunakan wang sebab aku dah jadi beruang; jika aku hendak jadi halimunan atau boleh ghaib, tentu aku jadi tak ubah macam biskut chocfudge-sekejap ada, sekejap tak ada. Jika demikian, baik aku minta jadi kuat, supaya senang aku buat kerja tuan aku'. Setetah terlintas demikian maka Gadang pun berkata kepada hantu tersebut, "Hoi hantu! , beri aku jadi kuat, supaya pokok kemuncup atau pokok tauge mampu kucabut!" "Ceh! Aparaa... kalau aku kuat dah lama dah aku terajang kau... tapi kalau kau nak jugak jadi kuat, kau pegilah menuntut ilmu batin kat sorang Tok Guru di hujung negeri ni..kat Tanjung Malim tu.... Ni haaa! Kau tengok tangan aku ni, cacat haa... ni Tok Guru tu la yang mengkarate-nya... lepas tu dicabutnya sebatang pokok kelapa sawit, dihempapkannya kat belakang aku..bongkok aku.... tapi nasib aku tak mati... lepas tu nasib baiklah aku berjaya melarikan diri," cerita bantu air bertambah panjang bertambah lebar. "Kalau macam tu, baiklah aku lepaskan kau...." Lalu Gadang pun melepaskan janggut hantu air tu. Besoknya, Gadang pun pergi menemui Tok Guru yang di Tanjung Malim itu. Dipendekkan ceritanya maka Gadang pun menuntulah ilmu kuat daripada Tok Guru itu hingga tamat. Setelah tamat Gadang pun pulang ke kampungnya di Tapah. Sesampainya di kampung, Gadang pun mencuba kekuatannya dengan mencabut pokok-pokok besar yang ada di sepanjang jalan. Gadang menjadi kuat dengan tiba-tiba. Maka terang-benderanglah kawasan itu dikerjakan oleh Gadang. Maka habislah segala pokok kecil, besar, tua, muda di kawasan itu, lalu menjadi padang gagak padang tekukur. Apabila tuannya menyedari semua itu maka tuannya pun bertanya, "Siapakah yang membantu engkau melakukan ini semua? Pekerja Indonesia atau Bangladesh?",. Maka berkata Gadang, "Saya seorang melakunya!" Maka kata tuannya lagi, "Bagaimana engkau boleh melakukannya seorang diri dengan sebegitu pantas? Pakai hantu raya kah?". Maka oleh Gadang segala yang berlaku diceritakanlah kepada tuannya. Syahdan, Gadang semakin disayangi oleh tuannya. Setelah perkhabaran ini sampai ke Temasik, Gadang dijemput oleh baginda Sultan ke istana mengadap. Sultan Temasik pun bertitah kepada Gadang, "Benarkah apa yang beta dengar wahai Gadang? Benarkah kamu memiliki kekuatan yang luar biasa?" "Benar tuanku!" Kemudian Sultan Temasik pun berkenan melihat sendiri kekuatan Gadang. Barulah Sultan Temasik benar-benar percaya dan berpuas hati. "Wahai Gadang! Oleh kerana negeri kamu di bawah takluk jajahan beta, maka kamu mesti menunaikan perintah beta ini?" tiba-tiba Sultan Temasik bertitah. "Ampun patik tuanku! Patik sedia menunaikan apa saja perintah tuanku kalau itu yang tuanku inginkan!" balas Gadang. Maka kata Sultan Temasik, "Begini Gadang. Ada pun beta baru menerima e-mail daripada Raja Tanah Jawa yang inginkan bantuan. Negara baginda kini dilanda jerebu yang amat dahsyat gara-gara perbuatan rakyat yang membakar hutan untuk dijadikan ladang kelapa sawit atau padi huma. Jika pokok-pokok di hutan tersebut hendak ditebang sudah tentu mereka tidak terdaya, jadi hendak tak hendak dengan membakar hutan sajalah caranya. Dengan itu ladang dapat dibuka kerana hanya itulah mata pencarian mereka. Kalau tidak, mereka akan berhijrah ke sini sebagai Pendatang Haram Tanpa Izin pula. Masalahnya sekarang jika mereka membakar hutan, jerebu pula yang akan melanda." Sultan Temasik berhenti sebentar kemudian menyambung, "Jadi beta hendak kamu pergi ke Tanah Jawa dan kerjakan hutan-hutan dikawasan yang hendak jadikan ladang. Dengan itu mereka tidak perlu lagi membakar hutan buat beberapa waktu ini. Beta akan membalas e-mail raja Tanah Jawa sekarang juga untuk memberitahu khabar gembira ini! Gadang hanya mampu berkata dalam hati, "Kalau begini aku lebih rela jadi seperti dulu. Jadi kuat pun tak berguna kalau kena buatkerja yang bukan-bukan!" -- Edited by Amirshah at 15:24, 2007-07-20 | |