Thursday, July 23, 2009

Hikayat Gadang Perkasa




Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan ada seorang berhuma diam di Tapah. Hambanya Gadang namanya. Asalnya orang Tambun; senantiasa diperintah tuannya menebas menebang.

Sekali peristiwa, Gadang menahan lukahnya di dalam sungai. Menjelang pagi dilihatnya lukahnya kosong. yang tinggal hanya sisik ikan dan tulangnya sahaja. Demikianlah yang terjadi kepada Gadang setiap hari. Setiap hari jualah Gadang membuang sisik dan tulang ikan ke dalam sungai. Adapun sungai itu dinamai orang Sungai Kinta pada hari ini.

Maka terfikirlah Gadang di dalam hati, "Siapa gerangan yang makan ikan dilukahku ini? Biar kuintai supaya aku tahu siapa yang empunya kerja."
Suatu hari bersembunyilah Gadang di balik semak. Nampaklah olehnya akan hantu air datang lalu mengangkat lukahnya. Matanya merah seperti biji saga atau macam kereta Proton Saga warna merah, rambutnya menggerbang seperti rambut David Arumugam dan janggutnya panjang mencecah air sungai.

Gadang pun memberanikan hati persis besi berani walupun ia sebenarnya takut melihatkan rupa hantu air tersebut. Elok jualah ketika itu hari masih siang. Kalau malam sudah pasti Gadang dah belah. Hendak rugi berapa kilo ikan sekalipun dirinya tidak kisah. Susah-susah beli sahaja ikan di pasar Tapah. Maka disebabkan Gadang dah terlajak ke depan, tambah-tambah ada senapang patah di hujung tangan, Gadang pun menangkap hantu air itu. Maka kata Gadang, "Mengapa engkau suka makan ikan aku? Engkau tak nampak ke kat lukah ni ada nama aku, ni hah? G.A.D.A.N.G - Gadang! Sekarang terimalah hukuman mati mandatori daripada aku!"

Setelah mendengar kata Gadang itu, hantu air itu pun dengan terketar-ketar merayu. Maka kata hantu itu, "Janganlah engkau bunuh aku, janganlah aku engkau bunuh dan janganlah kita saling bunuh-membunuh semata-mata kerana ikan. Rayunya lagi, "Aku hantu yang lemah, hanya mampu berserah dan pasrah ...!" sambil mengharapkan belas kasihan daripada Gadang dengan linagan air hidungnya. Kemudian hantu itu menambah lagi, "Aku sanggup menunaikan apa saja permintaan engkau asal saja aku tidak dibunuh...."

Maka terfikirlah Gadang di dalam hati, 'Jika aku nak buat permintaan lagu, hantu air ni bukannya juruhebah radio; jika aku hendak kaya, aku dah biasa makan roti kaya; jika aku hendak jadi orang berwang tentu aku tak reti gunakan wang sebab aku dah jadi beruang; jika aku hendak jadi halimunan atau boleh ghaib, tentu aku jadi tak ubah macam biskut chocfudge-sekejap ada, sekejap tak ada. Jika demikian, baik aku minta jadi kuat, supaya senang aku buat kerja tuan aku'.

Setetah terlintas demikian maka Gadang pun berkata kepada hantu tersebut, "Hoi hantu! , beri aku jadi kuat, supaya pokok kemuncup atau pokok tauge mampu kucabut!"

"Ceh! Aparaa... kalau aku kuat dah lama dah aku terajang kau... tapi kalau kau nak jugak jadi kuat, kau pegilah menuntut ilmu batin kat sorang Tok Guru di hujung negeri ni..kat Tanjung Malim tu.... Ni haaa! Kau tengok tangan aku ni, cacat haa... ni Tok Guru tu la yang mengkarate-nya... lepas tu dicabutnya sebatang pokok kelapa sawit, dihempapkannya kat belakang aku..bongkok aku.... tapi nasib aku tak mati... lepas tu nasib baiklah aku berjaya melarikan diri,"
cerita bantu air bertambah panjang bertambah lebar.

"Kalau macam tu, baiklah aku lepaskan kau...." Lalu Gadang pun melepaskan janggut hantu air tu. Besoknya, Gadang pun pergi menemui Tok Guru yang di Tanjung Malim itu. Dipendekkan ceritanya maka Gadang pun menuntulah ilmu kuat daripada Tok Guru itu hingga tamat. Setelah tamat Gadang pun pulang ke kampungnya di Tapah.

Sesampainya di kampung, Gadang pun mencuba kekuatannya dengan mencabut pokok-pokok besar yang ada di sepanjang jalan. Gadang menjadi kuat dengan tiba-tiba. Maka terang-benderanglah kawasan itu dikerjakan oleh Gadang. Maka habislah segala pokok kecil, besar, tua, muda di kawasan itu, lalu menjadi padang gagak padang tekukur.

Apabila tuannya menyedari semua itu maka tuannya pun bertanya, "Siapakah yang membantu engkau melakukan ini semua? Pekerja Indonesia atau Bangladesh?",. Maka berkata Gadang, "Saya seorang melakunya!"
Maka kata tuannya lagi, "Bagaimana engkau boleh melakukannya seorang diri dengan sebegitu pantas? Pakai hantu raya kah?". Maka oleh Gadang segala yang berlaku diceritakanlah kepada tuannya. Syahdan, Gadang semakin disayangi oleh tuannya.

Setelah perkhabaran ini sampai ke Temasik, Gadang dijemput oleh baginda Sultan ke istana mengadap. Sultan Temasik pun bertitah kepada Gadang, "Benarkah apa yang beta dengar wahai Gadang? Benarkah kamu memiliki kekuatan yang luar biasa?"

"Benar tuanku!" Kemudian Sultan Temasik pun berkenan melihat sendiri kekuatan Gadang. Barulah Sultan Temasik benar-benar percaya dan berpuas hati.

"Wahai Gadang! Oleh kerana negeri kamu di bawah takluk jajahan beta, maka kamu mesti menunaikan perintah beta ini?" tiba-tiba Sultan Temasik bertitah.
"Ampun patik tuanku! Patik sedia menunaikan apa saja perintah tuanku kalau itu yang tuanku inginkan!" balas Gadang.
Maka kata Sultan Temasik, "Begini Gadang. Ada pun beta baru menerima e-mail daripada Raja Tanah Jawa yang inginkan bantuan. Negara baginda kini dilanda jerebu yang amat dahsyat gara-gara perbuatan rakyat yang membakar hutan untuk dijadikan ladang kelapa sawit atau padi huma. Jika pokok-pokok di hutan tersebut hendak ditebang sudah tentu mereka tidak terdaya, jadi hendak tak hendak dengan membakar hutan sajalah caranya. Dengan itu ladang dapat dibuka kerana hanya itulah mata pencarian mereka. Kalau tidak, mereka akan berhijrah ke sini sebagai Pendatang Haram Tanpa Izin pula.

Masalahnya sekarang jika mereka membakar hutan, jerebu pula yang akan melanda." Sultan Temasik berhenti sebentar kemudian menyambung, "Jadi beta hendak kamu pergi ke Tanah Jawa dan kerjakan hutan-hutan dikawasan yang hendak jadikan ladang. Dengan itu mereka tidak perlu lagi membakar hutan buat beberapa waktu ini. Beta akan membalas e-mail raja Tanah Jawa sekarang juga untuk memberitahu khabar gembira ini!

Gadang hanya mampu berkata dalam hati, "Kalau begini aku lebih rela jadi seperti dulu. Jadi kuat pun tak berguna kalau kena buatkerja yang bukan-bukan!"biggrinbiggrin

-- Edited by Amirshah at 15:24, 2007-07-20

No comments:

Post a Comment