Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan makan serta minumlah dan janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.”(Quran surah al- ‘Araf:31)
Jika kita ummat manusia mematuhi perintah dan larangan Allah s.w.t. ini, Insya Allah hidup kita akan berada dalam sehat wal’afiat, terutama sekali bagi Ummat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan yang diberkati.
Islam mengajarkan kita bahwa makan dan minum adalah satu keperluan dan bukanlah matlamat. Dengan kata lain “makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan.” Allah s.w.t. mengajar kita supaya memakan makanan yang halal dan baik, iaitu makanan yang berguna untuk kesehatan kita.
Hal ini dapat dilihat pada diri Junjungan kita Nabi Mohammad s.a.w. dan pada diri para sahabat. Sehingga mereka dapat hidup dalam sehat wal’afiat, dan dapat menggunakan masa sehat itu untuk beramal lebih banyak selama hidup didunia yang fana ini.
Kita merasa sedih kerana ramai ummat Islam pada zaman sesudahnya tidak mematuhi perintah dan larangan Allah s.w.t., sehingga menyebabkan mereka berpuasa, hanya menanggung lapar dan dahaga saja dan kurang membawa faedah.
Hal ini dapat kita saksikan sendiri terutama di bulan Ramadhan. Mereka berpuasa di siang hari, tetapi masa siang hari itu diisi dengan amalan yang kurang faedah, seperti hanya untuk main games, dan melakukan lain-lain kegiatan yang sia-sia. Sepatutnya puasa pada Ramadhan itu digunakan untuk membaca al-Quran, berzikir, menuntut Ilmu Pengetahuan yang berguna. Pada malam harinya menunaikan solat taraweh, solat tahajjud, membaca al-Quran, ataupun menambah Ilmu Pengetahuan yang berguna.
Tengok saja pada bazaar Ramadhan atau ke pasar-pasar lainnya, apa yang tak ada disana? Berbagai juadah, dan makanan serba aneka ada. Kita datang dalam keadaan haus dan lapar, maka ketika itu berbagai makanan diborong, sehingga sewaktu berbuka puasa berbagai makanan terhidang.
Sedar tak sedar ketika berbuka, semua itu kita masukkan sehingga memenuhi perut kita. Ada yang begitu kenyang sekali sehingga malas pergi ke surau ataupun masjid, malah ada yang terlewat atau meninggalkan solat Magrib, Isya, apa lagi mahu solat Teraweh ataupun menunaikan solat Tahajjud. Ramai yang tak mampu menunaikannya.
Sepatutnya kita perlu tahu bahwa tubuh badan kita memerlukan makanan untuk memberi tenaga, dan makanan yang diambil itu perlu seimbang. Makan berlebihan akan membuat kelebihan kalori, yang perlu dielakkan, supaya kalori itu tidak menjadi lemak dalam badan, sehingga kita menjadi gemuk. Mengikut kajian kegemukan akan menyebabkan berbagai penyakit boleh timbul, seperti kencing manis, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan berbagai penyakit lainnya disebabkan kelebihan kolestrol yang telah menutup saluran darah kita.
Pada hari biasa organ-organ dalam tubuh kita bekerja dan berfungsi terus menerus sepanjang masa. Boleh dikatakan alat-alat pada tubuh kita itu tidak berehat selama 24 jam, malah jantung dan paru-paru kita tidak pernah berhenti kerja, walaupun kita sedang tidur nyenyak.
Jika kita berpuasa, alat pencernaan kita boleh rehat lebih kurang 12 jam setiap hari. Organ yang lainnya menyesuaikan dirinya dengan memperlahankan pergerakannya. Dengan berpuasa, organ dalam tubuh kita akan dapat dilatih bekerja dengan lebih berkesan dan teratur, sehingga ia tidak cepat binasa. Organ tubuh kita boleh rusak disebabkan berbagai penyakit, disebabkan penggunaan organ tubuh yang berlebihan.
Marilah kita tunaikan ibadah puasa kita mengikut apa yang telah diperintahkan Allah dan RasulNya. Makan dan minumlah tetapi janganlah berlebih-lebihan, dan tunaikan pula pada malamnya solat sunat teraweh, witir, tahajjud. Insya Allah semua ini akan membawa faedah bagi kesehatan Rohani dan Jasmani kita.
No comments:
Post a Comment