Wednesday, September 16, 2009

SUHARTO 2

Align Center

Kebangkitan Suharto

Pada pagi 1 Oktober 1965, beberapa pasukan pengawal presiden Tjakrabirawa di bawah Leftenan Kolonel Untung Sutopo, bersama-sama dengan pasukan-pasukan yang lain, menculik dan membunuh enam orang jeneral. Dalam peristiwa itu, Jeneral A.H. Nasution, yang merupakan Menteri Penyeleras Kementerian Pertahanan dan Keselamatan (HANKAM) serta Ketua Staf Angkatan Bersenjata, dapat melepaskan diri. Oleh sebab Jeneral Suharto tidak disasarkan dalam percubaan kudeta itu, kesangsian tertimbul terhadap adakah beliau terlibat atau tidak dalam peristiwa yang dikenali sebagai G-30-S/PKI itu. Beberapa sumber mengatakan bahawa pasukan-pasukan Tjakrabirawa cuma hendak menghentikan kudeta yang bertujuan untuk menggulingkan Presiden Sukarno pada "Hari ABRI", 5 Oktober 1965. Kudeta itu dikatakan dilaksanakan dengan sokongan CIA oleh badan tentera yang lebih dikenali sebagai "Dewan Jeneral". Menurut versi rasmi pada masa Ketertiban Baru (Orde Baru), peristiwa itu ditindak balas dengan segera oleh Suharto dan keamanan Jakarta dapat dipeliharakan, terutamanya selepas mendapat khabar bahawa Leftenan Jeneral Ahmad Yani, Menteri Panglima Angkatan Darat, tidak diketahui di mana. Sebenarnya, hal ini adalah sesuatu yang biasa dalam Angkatan Darat bahawa apabila Panglima Angkatan Darat tidak dapat hadir, maka Panglima KOSTRAD akan menjalankan tugasnya. Tindakan ini diperkukuh lagi dengan turunnya Surat Perintah 11 Mac (Supersemar) daripada Presiden Sukarno yang memberikan kuasa dan mandat kepada Suharto untuk mengambil segala tindakan untuk memulihkan keamanan dan ketertiban. Suharto mengambil langkah-langkah pembubaran Parti Komunis Indonesia (PKI) dengan segera, serta penangkapan sebilangan menteri yang diduga terlibat dalam G-30-S (Gerakan 30 September).


Soeharto.

Menurut pemerhati antarabangsa, tindakan ini ialah satu langkah untuk menyingkirkan Angkatan Bersenjata Indonesia yang pro-Sukarno dan pro-Komunis, khususnya Angkatan Udara Republik Indonesia dan Panglima Angkatan Udaranya, Laksamana Udara Omar Dhani. Akhirnya Sukarno terpaksa menyerahkan kuasa eksekutifnya. Tindakan pembersihan unsur-unsur komunis (PKI) membawa tindakan penghukuman mati terhadap anggota Parti Komunis di Indonesia dan menyebabkan pembunuhan sistematik sekitar 500 ribu "tersangka komunis", kebanyakannya orang awam dan orang Cina Indonesia yang merupakan kaum minoriti. Suharto dikatakan menerima dukungan CIA dalam penumpasan komunis itu. 25 tahun kemudian, diplomat Amerika Syarikat mendedahkan bahawa mereka telah menulis daftar komunis Indonesia dan menyerahkan sebanyak 5,000 nama kepada tentera Indonesia.

Pada tahun 1990, Been Huang, bekas anggota kedutaan politik Amerika Syarikat di Jakarta, berkata: "Itu merupakan suatu pertolongan besar bagi Angkatan Bersenjata. Mereka mungkin membunuh banyak orang, dan saya kemungkinan memiliki banyak darah di tangan saya, tetapi tidak seburuk itu. Ada saatnya yang anda harus memukul dengan keras pada saat yang tepat." Pada tahun 1965, Howard Fenderspiel, ahli Indonesia di "Biro Perisikan dan Penyelidikan" dalam Jabatan Negara berkata: "Tidak ada yang peduli, selama mereka ialah komunis, mereka dibantai. Tidak ada apa yang dapat dilaksanakan tentang mereka."1

Suharto mengakhirkan konfrontasi dengan Malaysia yang dimulakan oleh Sukarno. Pada 12 Mac 1967, Suharto dilantik menjadi Presiden sementara Indonesia oleh MPRS, parlimen sementara, selepas pertanggungjawaban Presiden Sukarno (NAWAKSARA) ditolak oleh badan itu. Kemudian, pada 21 Mac, beliau dipilih sebagai Presiden secara rasmi untuk tempoh lima tahun. Suharto, secara langsung, memperoleh undi MPR sebanyak 20%. Beliau kemudian mendirikan apa yang dikenali sebagai Ketertiban Baru (Orde Baru). Indonesia juga menjadi salah satu daripada pengasas ASEAN.

Beberapa pemerhati politik, baik di dalam negeri mahupun di luar, mengatakan bahawa Suharto membersihkan parlimen daripada komunis, menyingkirkan kesatuan sekerja, dan meningkatkan penapisan. Beliau juga memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat Cina dan menjalin hubungan dengan negara-negara barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Suharto menjadi penentu dalam semua keputusan politik.

Jeneral Suharto dikatakan meningkatkan peruntukan belanja untuk tentera dan mendirikan dua badan perisikan, iaitu "Komando Pemulihan Keamanan dan Ketertiban" (Kopkamtib) dan "Badan Penyelerasan Perisikan Nasional" (Badan Koordinasi Intelijen Nasional) (Bakin). Sekitar dua juta orang dihukum mati dalam pembersihan massa dan melebihi 200,000 ditangkap hanya kerana dicurigai terlibat dalam kudeta. Banyak komunis dan yang tersangka komunis, yang disebut sebagai "musuh negara", dihukum mati (meskipun beberapa hukuman ditangguh sehingga 1990).

Diduga bahawa daftar tersangka komunis diberikan oleh CIA kepada Suharto. Sebagai tambahan, CIA mengesan nama dalam daftar ini ketika rejim Suharto mulai mencari mereka. Dukungan daripada Amerika Syarikat untuk rejim Suharto tetap diam sehingga serangan Timor Timur, dan terus berlangsung sehingga akhir 1990-an. Disebabkan kekayaan sumber semula jadinya dan bilangan penduduk yang besar, Indonesia telah dihargai sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat dan begitu juga pengiriman senjata tetapi dipertahankan ke rejim Suharto. Ketika Suharto mengunjungi Washington pada 1995, pentadbiran Clinton disebut oleh New York Times mengatakan bahawa Suharto adalah "orang seperti kita" atau "orang golongan kita".


*************

No comments:

Post a Comment