Sunday, December 19, 2010

MENJAGA HUBUNGAN SILATURRAHIM

Dalam hadis diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim bermaksud: “Daripada Anas Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang suka (dan ingin) dimurahkan rezeki serta dilewatkan ajalnya, hendaklah dia menghubungkan silaturahimnya.”

Maksud silaturahim ialah berbuat baik kepada kaum kerabat. Disebabkan inilah perkataan silaturahim (menghubungkan ikatan kekeluargaan) diguna dengan maksud berbuat baik kepada sanak saudara.

Hubungan kekeluargaan dapat dijalin melalui harta, khidmat atau sebagainya yang menjadi sebab diberi taufik melaksanakan ketaatan dan dipelihara daripada melakukan maksiat dalam hidup. Justeru, lahir pujian selepas seseorang meninggal dunia. Pujian itu bagaikan umur kedua untuknya.

Bagaimanapun, jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 bermaksud: “Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Munafiqun ayat 11 (bermaksud): “Allah tidak akan menangguh kematian sesuatu yang bernyawa (sama ada manusia atau lainnya) apabila ajalnya sampai.”

Oleh itu, maksud ajal dilewatkan dalam hadis berkenaan adalah pujian kepada orang yang menghubungkan silaturahim berkekalan selepas kematiannya. Seolah-olah dia belum mati.

Namun, ada ulama yang menghukum pandangan ini lemah. Antaranya ialah Imam an-Nawawi r.h.m dalam kitabnya Syarhu Muslim ketika menghuraikan hadis itu. Menurut beliau, ulama mengutarakan beberapa jawapan dan huraian kepada persoalan dilewatkan ajal bagi sesiapa yang menghubung silaturahim.

Pertama, jawapan yang benar ialah tambahan ajal adalah dengan keberkatan umurnya, diberi hidayah untuk taat, dipenuhkan masa hidupnya dengan perkara berguna kepadanya di akhirat, dipelihara waktunya daripada sia-sia dan seumpamanya.

Kedua, tambahan ajal itu berdasarkan apa yang zahir kepada malaikat seperti tertulis di Luh Mahfuz dan seumpamanya. Sebagai contoh, malaikat mendapati di Luh Mahfuz umur seseorang ialah 60 tahun, tetapi jika dia menyambung silaturahim, umurnya ditambah 40 tahun lagi. Padahal Allah SWT mengetahui apa yang terjadi. Berdasarkan ilmu dan takdir Allah SWT, tambahan ajal adalah mustahil, namun berdasarkan apa yang zahir kepada malaikat, ia tidak mustahil.

Ketiga, ialah tambahan umur bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup. Boleh jadi sebutan yang baik itu disebabkan ilmu yang bermanfaat atau sedekah jariah (seperti wakaf) atau anak solih yang mendoakannya.

Dalam kitab al-Mu’jam as-Saghir, karangan at-Thabrani, diriwayatkan daripada Abu Darda: “Disebutkan di sisi Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang menghubungkan silaturahimnya, ajalnya akan ditangguh untuknya. Lalu Baginda SAW bersabda: Ia bukanlah tambahan umurnya kerana Allah SWT berfirman (dalam surah al-A’raf ayat 34 bermaksud): Maka apabila ajal mereka datang, mereka tidak akan dapat melewatkannya walaupun satu detik dan mereka juga tidak akan dapat mendahulukannya. Tetapi lelaki itu mempunyai zuriat salih yang berdoa untuknya selepas kematiannya.”

Justeru, menghubungi silaturahim ialah punca rezeki dimurahkan dan pujian yang akan mendorong orang masih hidup memohon rahmat Allah SWT dan berdoa perkara yang baik untuk si mati berkenaan. Wallahua’lam.

INFO:
SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment