Dr Jeniri Amir
KUCHING – Tahun Baru 2011 kali ini saya sambut di kota Jakarta. Jakarta dengan penduduk 12 juta jiwa sentiasa menggelegak dan tidak pernah tidur. Pada malam menjelang tahun baru, langit Jakarta berwarna-warni dengan percikan bunga api, di sesetengah tempat selama dua jam, mulai 10.00 malam. Memang pengalaman menarik meraikan tahun baru di negara 240 juta jiwa itu, kerana warga kota berhimpun untuk menyaksikan pelbagai persembahan. Stesen televisyen menyiarkan rancangan hiburan dari tapak persembahan dengan mengundang penyanyi baru dan lama, termasuk Omar Irama dengan irama dangdutnya. Penonton tidak berganjak sehingga berakhirnya persembahan sekitar jam 1.00 pagi.
Di Ancol, Jakarta utara, berhimpun 180,000 orang menyaksikan perembahan pelbagai penyanyi, termasuk kumpulan Ungu. Gabenor Jakarta, Fauzi Bawo yang hadir dalam acara menghitung detik menjelang tahun baru, meminta agar warga Jakarta sama-sama berusaha menjadikan kota itu indah, menarik dan terpelihara.
Sesungguhnya, saya dapati Jakarta kini amat pesat membangun, dengan begitu banyak pusat beli-belah tumbuh bagai cendawan. Saya kagum dengan keindahan bangunan dan juga pusat beli-belahnya yang mewah, besar dan moden. Sesudah berkunjung ke kota ini lebih 30 kali dalam tempoh 20 tahun, tidak keterlaluan saya katakan, Jakarta merupakan syurga beli-belah. Apatah lagi mal dan pusat beli-belahnya begitu menarik dengan pelbagai produk yang memenuhi cita rasa moden dari segi makanan, pakaian, beg, dan barang keperluan lain.
Kota ini begitu pesat membangun dan di sesetengah tempat tatahiasnya lebih tersusun, teratur dan indah daripada Kuala Lumpur. Saya mengimpikan bangunan dan pusat beli-belah yang tidak hanya seperti kotak yang kita saksikan di Kuching. Alangkah menariknya Kuching jika terdapat sekurang-kurangnya sebuah gedung beli-belah yang besar, moden dan canggih, dengan segala kemudahan untuk memenuhi keperluan keluarga.
Masalahnya, kita sering memandang rendah Indonesia, kerana kita tidak benar-benar memahami dan mendekati negara itu. Indonesia begitu menitikberatkan budaya dan keseniannya. Produk seni dari pelbagai daerah, dari batik hingga ke patung, dijual dan disusun dengan begitu menarik di pelbagai pusat beli-belah ternama. Di situ kita dapat lihat kesungguhan dan komitmen semua pihak untuk melestarikan budaya pelbagai etnik. Adakah produk budaya dan seni kita dijual di kompleks beli-belah mewah di Kuching atau Kuala Lumpur, memenuhi sehingga dua lantai?
Bagi mereka yang tidak pernah ke kota ini, Jakarta dipersepsi sebagai kota yang sesak dengan penduduk dan kenderaan, penuh dengan pengemis dan setinggan. Tanggapan sedemikian tidak tepat seratus peratus. Statistik terkini memperlihatkan Jakarta memiliki 11.3 juta buah kenderaan, Dijangkakan jumlah itu akan meningkat menjadi 12 juta pada tahun ini, dengan keadaan dijangka macet total pada tahun 2014. Sebanyak 1,500 motosikal dan 500 kereta baru didaftarkan setiap hari di kota itu.
Jakarta sentiasa menarik perhatian saya. Pertama, kerana penduduknya yang luar biasa ramah, sopan dan berbudi bahasa. Saya dapat rasai perbezaannya mulai dari bandara atau Lapangan Terbang Sukarno-Hatta lagi. Tidak salah saya katakan, penduduk Indonesia merupakan orang yang paling ramah yang pernah saya temui di rantau ini. Jika tidak percaya, kunjungi sahaja pusat beli-belah, tempat makan atau rumah mereka. Anda pasti diberi layanan luar biasa, seolah-olah mereka telah mengenali anda sekian lama. Mungkin kita perlu belajar sesuatu dari segi sikap mereka, terutama budi bahasa dan sopan santun. Budi bahasa mereka begitu halus.
Satu daripada kerisauan yang sering mencengkam saya ketika berkunjung ke mana-mana kota ialah sistem pengangkutan awamnya. Meskipun Jakarta tidak memiliki sistem pengangkutan moden seperti LRT sebagaimana di Kuala Lumpur, Bangkok atau Singapura, namun saya tidak pernah risau apabila menaiki teksi mereka. Berbeza daripada di Kuala Lumpur, setiap kali saya hendak menaiki teksi, saya perlu bertelagah terlebih dahulu dengan pemandu teksinya. Baru-baru ini ketika ke Kuala Lumpur saya geli hati apabila di pintu luar teksi sampai tercatat peringatan menyatakan bahawa teksi berkenaan menggunakan meter dan tidak perlu tawar-menawar harga.
Tetapi, apa yang sering berlaku ialah pemandu teksi sesuka hati mengenakan tambang. Saya pernah diminta membayar RM20 untuk perjalanan dari KLCC ke Bukit Bintang! Itu belum lagi mengambil kira pemandu teksi yang enggan membawa kita ke sesuatu tempat, atas alasan itu di luar destinasinya atau keadaan jalan raya begitu sesak.
Hakikatnya, keadaan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur tidak ada tandingannya dengan Bangkok atau Jakarta. Saya pernah terperangkap selama lima jam untuk perjalanan tujuh kilometer di Jakarta. Namun, jika kita pandai memilih waktu untuk keluar atau balik ke hotel, kita pasti dapat mengelak daripada kemacetan total – iaitu kereta bergerak begitu perlahan atau tidak bergerak langsung. Jika dapat, elak keluar ketika hujan atau waktu puncak pada sebelah pagi dan petang, iaitu ketika pekerja pergi atau balik dari pejabat.
Pemandu teksi di Jakarta sepanjang pengalaman saya tidak pernah hisap darah, dengan sengaja mengambil jalan panjang. Sebaliknya, mereka cuba melalui jalan pintas dan sentiasa akur menggunakan meter, tanpa perlu kita bertelagah terlebih dahulu, selain sikap yang begitu santun dan hormat kepada penumpang.
Sesuatu yang menarik, mereka menyediakan pelbagai jenis teksi, termasuk jenis mewah yang dapat menampung seluruh keluarga, seperti kereta Toyota Alphard, tentunya dengan harga yang sedikit mahal. Tetapi bukankah itu lebih murah daripada menaiki dua buah teksi selain keadaannya lebih selesa. Tentu kota kita dan pemandu teksi kita, terutama di Kuala Lumpur dapat mempelajari sesuatu – jangan bersikap tamak dan kasar terhadap penumpang, dan sediakan pelbagai jenis teksi untuk disewa.
Ketika di Jakarta selama dua minggu, perlawanan Piala Suzuki AFF 2010 sedang berlangsung. Saya yang tidak lagi meminati bola sepak tempatan sesudah dibelenggu masalah rasuah pada awal 1990-an, tiba-tiba terkena demam bola sesampai di Jakarta. Pada malam pertandingan pusingan pertama di Kuala Lumpur, saya dapati ribuan peminat berhimpun di pelbagai tempat, termasuk di pusat beli-belah mewah dan mega di hadapan layar besar.
Fenomena ‘nonton bareng’, iaitu menonton secara beramai-ramai berlaku di seluruh Indonesia. Dengan itu, keadaannya lebih meriah dan sokongan lebih padu dan bermakna. Tidak pernah saya melihat sokongan luar biasa sedemikian, dengan peminatnya memakai baju merah dan aksesori lain. Kemeja-t, topi, dan sebagainya laris ketika semua orang bercakap tentang bola, dari Istana Presiden hingga petani di Sumatera dan ribuan pulau lain di seluruh Indonesia. Seluruh Indonesia bagai berduka apabila mereka kecundang di Bukit Jalil dalam pusingan pertama, namun tetap yakin muncul juara, kecuali Alfred Riedl, jurulatih dari Austria yang mengakui hanya mempunyai peluang 5 hingga 10 peratus untuk menang. Meski tewas atas agregat 2-4 sesudah bertarung penuh komitmen di Senayan, rakyat Indonesia tetap menganggap mereka menang tanpa piala!
Sesuatu yang dapat kita pelajari ialah bagaimana peminat dan penyokong mendukung bola sepak di negara itu. Semua orang begitu ghairah menyebut nama Cristian Gonzales dan Bambang Pemungkas. Malah ketika mengurut kaki di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta sementara menunggu pesawat balik Ke Kuala Lumpur, tukang urut begitu memuji K Rajagobal, Safee Sali dan Khairul Fahmi.
Sesungguhnya, nama mereka bukan sahaja cukup terkenal di Malaysia, tetapi juga meniti di bibir rakyat di seluruh Indonesia. Satu daripada punca bola sepak begitu digilai di negara itu ialah corak liputan stesen televisyennya. Jika di negara ini, kita hanya mengadakan siaran langsung untuk sesi permainan 90 minit, di Indonesia, stesen televisyen utamanya memancarkan dua jam sebelum perlawanan berlangsung dan dua jam selepas perlawanan berakhir.
Liputannya begitu menarik, mendalam dan meluas, dengan mengarahkan kamera kepada segala pergerakan di dalam dan di laur stadium. Perbincangan tentang bola berlarutan dua hari sesudah perlawanan tamat, termasuk dalam acara hiburan. Bola menjadi bualan dan resepi menarik penonton televisyen sejak awal Disember lagi. Mungkin stesen televisyen kita dapat mempelajari sesuatu daripada televisyen Indonesia terutama bagi perlawanan penting sedemikian bagi menyemarakkan minat dan semangat peminat bola.
Demikianlah sekelumit pengalaman dan oleh-oleh dari Jakarta.
*Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak
********