Wednesday, January 19, 2011

SINGAPURA - Harapan bagi Belanjawan 2011

16 Jan 2011 - FORUM

SAYA merujuk kepada rencana Encik Mohd Noor A. Rahman, Mengharap Belanjawan 2011 yang murah hati (BH, 1 Januari).

Saya berkongsi pandangan dan harapan penulis, namun saya ingin menyenaraikan beberapa saranan dan harapan lain berkenaan Belanjawan yang dijangka dibentangkan bulan depan dan disebut-sebut sebagai 'Belanjawan Pilihan Raya' kerana Pilihan Raya Umum dijangka diadakan sebelum pertengahan tahun ini.

CUKAI

Saya harap golongan pekerja, terutama mereka yang berpendapatan ke bawah $4,000 sebulan, diberi rebat cukai pendapatan antara 15 dengan 20 peratus kerana majoriti golongan ini lebih dikenali sebagai sandwiched class (golongan yang tertekan di tengah-tengah).

Golongan pekerja ini rata-rata diperlukan membayar cukai pendapatan, dan mereka biasanya menyara hidup keluarga termasuk ibu bapa mereka yang sudah bersara dan lanjut usia. Mereka juga perlu membayar bil bulanan seperti flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), pendidikan anak, kenderaan dan sebagainya.

Saya juga berharap agar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dapat dikurangkan kepada kadar 5 peratus. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos perniagaan, malah dapat menggalak lebih ramai orang berbelanja demi merancakkan ekonomi negara. Warga kurang berkemampuan juga meraih faedah daripada pengurangan kadar GST itu.

Sementara itu, harga Sijil Hak Memiliki (COE) kenderaan bagi kenderaan baru telah naik sejak beberapa bulan lalu dan ini menjejas ramai pembeli kenderaan peribadi dan syarikat.

Selain itu, kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP), minyak petrol/diesel dan kadar bayaran tempat meletak kenderaan umumnya telah meningkat.

Oleh itu, saya berharap agar rebat kos pengangkutan dari segi cukai jalan raya dapat diberikan kepada syarikat dan pemilik kenderaan, minimum rebat sehingga 30 peratus untuk tempoh setahun bagi setiap jenis kenderaan.

Rebat cukai perumahan bagi flat HDB jenis eksekutif dan lebih kecil wajar dilanjutkan, sekurang-kurangnya rebat diberikan sehingga 40 peratus.

CPF

Kadar sumbangan majikan kepada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) wajar dinaikkan sebanyak 1 hingga 1.5 peratus, dengan ia dimasukkan ke dalam Akaun Biasa bagi membantu warga membayar ansuran bulanan flat HDB.

Saya juga berharap pemerintah melanjutkan tokokan kepada Akaun Medisave (CPF-MA) (Enhanced) bagi warga berusia 55 tahun ke atas. Ini bagi membantu golongan itu mempunyai simpanan secukupnya bagi keperluan pemeriksaan doktor dan perubatan.

Dalam dekad ini, lebih kurang satu daripada empat penduduk warga Singapura merupakan penduduk yang lanjut usia.

DIVIDEN PERTUMBUHAN

Pada Belanjawan 2008, pemerintah telah berkongsi lebihan belanjawan dengan warganya melalui dividen pertumbuhan. Saya berharap agar pemerintah dapat memberikan dividen pertumbuhan sekali lagi tahun ini, dengan jumlah yang lebih kepada warga tua dan anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS).

RUMUSAN

Walaupun kita berharap Belanjawan tahun ini bersifat murah hati, saya harap pemerintah juga dapat menabung lebihan pendapatan ke dalam rizab negara.

Saya juga ingin menyeru kepada anggota masyarakat kita agar tidak membelanjakan wang/habuan yang diraih dengan membeli barangan yang tidak sewajarnya, dan sebaliknya menggunakannya bagi perkara penting seperti bayaran perumahan, bil api air, pendidikan anak dan belanja makanan.

Lebih baik lagi jika sebahagian lebihan atau bonus itu dapat disimpan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan warga agar sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan dan lakarkanlah belanjawan bagi seisi keluarga, yang membabitkan setiap anggota keluarga.

Muhammad Dzul Azhan Haji Sahba

*******

No comments:

Post a Comment