ISU perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik.
Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut. Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w. Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi'ul Awwal.
Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi'ul Awwal. Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi'in dan tabi al-tabi'in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada 'Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad 'Abd al-Qadir Abu Faris: "Pada pendapat kami -Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala "dia Allah" dan dia satu dari yang tiga.
Tujuan 'Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan jenerasi kemudian menyeleweng" (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan). Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.
Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai.
Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w. Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
****
No comments:
Post a Comment