Sunday, June 19, 2011

Tulis novel guna teknik Surah Yusuf


Oleh Anuar Othman

Tajuk: Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf
Penulis: Ainon Mohd.
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Harga: $21.10

ISLAM adalah agama yang lengkap dan sesuai untuk semua masa. Al-Quran pula adalah kitab panduan, termasuk bagi para penulis yang ingin menghasilkan novel hasanah.

Walaupun sudah terdapat teori dan teknik penulisan novel yang konvensional, yang kebanyakan dari Barat, mengapa tidak kita yang beragama Islam menggunakan teknik penulisan novel yang disampaikan oleh Allah swt lewat surah Yusuf? Inilah yang disarankan Cik Ainon Mohd, pengerusi syarikat Kumpulan PTS.

Setelah meneliti surah Yusuf, Cik Ainon berasa yakin, untuk menghasilkan sastera, terutama sekali novel hasanah, teknik surah Yusuflah yang harus menjadi pilihan penulis Islam.

Apakah itu teori dan teknik surah Yusuf?

Di PTS, ia ditetapkan sebagai aliran rasmi bagi semua kategori penulisan novel, baik buku cerita kanak-kanak, novel remaja mahupun dewasa. Perbezaan paling penting antara teknik penulisan dalam teori-teori sastera konvensional dengan teknik penulisan dalam surah Yusuf adalah sifat pengarangnya.

Dalam teknik surah Yusuf, pengarang tidak bersifat omnipoten, manakala dalam teknik penulisan sastera konvensional, pengarang adalah omnipoten.

Istilah 'omnipoten' diambil daripada kata akar poten atau potent yang menerbitkan kekata seperti potential, impotent dan lain-lain. Imbuhan 'omni' bermakna maha. Jadi, 'omnipoten' bermaksud 'maha berdaya' ataupun 'maha berkuasa'.

Sifat omnipoten adalah sifat ketuhanan. Antara sifat Allah adalah keupayaan mengetahui apa yang ada di dalam hati dan fikiran manusia. Disebabkan pengarang bukan seperti Tuhan yang omnipoten, maka dalam teknik surah Yusuf, perkataan berupa kata sifat emotif seperti sedih, risau, kecewa, marah, suka, rindu, hampa, lucu dan lain-lain tidak digunakan dalam teks naratif, sebaliknya ia hanya digunakan dalam teks dialog.

Surah Yusuf menjadi terkenal disebabkan di dalamnya diceritakan sebuah kisah cinta paling indah iaitu cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf. Ini bermakna sastera hasanah menerima kisah cinta.

Bagaimanapun, kisah cinta dalam surah Yusuf tidak diakhiri dengan perkahwinan.

Pada akhirnya Siti Zulaikha tidak berkahwin dengan lelaki yang dicintainya, Nabi Yusuf. Justeru, berdasarkan model kisah cinta Nabi Yusuf, kisah cinta yang indah adalah kisah cinta yang tidak berakhir dengan perkahwinan.

Dalam karya Hamka yang terkenal, Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, percintaan hero dan heroinnya juga tidak berakhir dengan perkahwinan.

Demikian juga dalam karya Marah Roesli, Siti Noerbaya. Kisah Romeo dan Juliet, Laila Majnun dan Uda dan Dara semuanya tidak berakhir dengan perkahwinan. Ciri cinta yang berakhir dengan perkahwinan yang bahagia (and they live happily ever after...) adalah ciri sastera kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, satu bengkel mengenai cara penulisan menggunakan teknik surah Yusuf akan diadakan pada Sabtu, 23 Julai.

Ia akan dikendalikan oleh editor kanan syarikat, PTS Publsihing & Distributors, Malaysia, Encik Imran Azmi, di tempat yang akan ditetapkan kemudian.

Mereka yang berminat mengikutinya boleh menelefon 9191-1178 atau e-mel kepada anuar_othman@hotmail.com

Setiap peserta akan juga menerima buku Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusof.

Nota: Penulis seorang sasterawan.


****


No comments:

Post a Comment