Wednesday, July 27, 2011

SELAMAT DATANG RAMADHAN

Ada lima perkara yang membatalkan pahala puasa, yang jika dilakukan puasa akan sia-sia, hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Dari Anas r.a, Rasulullah ﷺ bersabda: "Lima perkara yang menghapuskan puasa (membatalkan pahala puasa) iaitu dusta, mengum...pat, menghasut (memecah belah), membuat sumpah palsu dan melihat wanita yang bukan mahram dengan syahwat."

Dari lima perkara itu, empat darinya berkaitan lisan atau percakapan, iaitu dusta, mengumpat, menghasut dan bersumpah palsu. Perkara ini amat mudah berlaku setiap masa dan tempat. Kerana itu jagalah lisan dan percakapan kita sepanjang Ramadhan ini, agar ia berterusan penjagaannya sepanjang tahun.

MULUT dan lidah dengan fungsinya sebagai alat pertuturan adalah antara anggota yang liar dan merbahaya. Jika tidak dikawal sewajarnya, mulut dan lidah boleh mendatangkan fitnah, permusuhan dan kecelakaan.

Hakikat ini telah disedari oleh para bijak pandai nenek-moyang kita dulu. Mereka memperkatakannya dalam bentuk bahasa yang indah (peribahasa). Antara peribahasa yang berkenaan ialah: "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padanya" dan "Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa".

Banyak hadis memberi amaran tentang bahaya lisan ini, antaranya:

Diriwayatkan, Abu Sufyan bin 'Abdullah as-Saqafi telah bertanya kepada Rasulullah, "Apakah anggota manusia yang paling merbahaya?". Rasulullah menunjukkan lidah baginda dan bersabda, "Inilah". ‎"Barangsiapa yang banyak perkataannya, akan banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, akan banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Nuaim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat at-Tirmizi)

Antara madah ulama pula ialah: "Peliharalah lidahmu, kerana lidah itu menempah kebinasaan dirimu" (Ibnu al-Mubarak).

"Jangan gunakan lidahmu untuk berbicara tentang apa yang boleh mematahkan gigimu" (Imam Sufyan al-Tsauri).

"Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik, kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak cakap."

Rasulullah ﷺ bersabda: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia BERKATA BAIK atau dia DIAM." (Hadis dari Abu Hurairah r.a., direkod al-Bukhari dan Muslim) Di dalam hadis ini menyebut dua perkara, BERKATA BAIK atau DIAM. Rasulullah menyebut berkata baik lebih dahulu dari diam, ertinya berkata yang baik (termasuk menasihati atau menegur masyarakat, pemimpin atau pemerintah) itu lebih utama. Jika tidak mampu berkata baik, maka lebih baik diam. Jika dalam menasihati orang lain, tapi tidak mampu menasihati dengan baik, tidak boleh kawal emosi, kekurangan ilmu, maka terlebih baik bagi orang itu ialah diam. Serahkan kepada orang yang mampu berkata baik dalam menasihati.

Ingatlah, menasihati orang yang bersalah, tidak salah. Yang salah memikirkan kesalahan orang. Lidah itu menjadi begitu merbahaya kerana disalahgunakan. Tetapi sekiranya digunakan sebaik-baiknya, lidah akan mendatangkan kebajikan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Penggunaan lidah secara betul dan dituntut ialah untuk: ~ berzikir dan membaca al-Quran, ~ menyampaikan ilmu, nasihat dan dakwah - amar makruf dan nahi mungkar. ~ berdoa kepada Allah Taala. ~ berkomunikasi dengan sesama manusia dalam hal yang diredhai, tidak dimurkai Allah.

Perlu diingat, dalam menggunakan percakapan yang baik itu, hakikatnya, "Berkata tentang yang baik mudah. Membuat perkara yang baik susah. Yang paling susah berikhlas di dalam membuat perkara yang baik." Penggunaan lidah (pertuturan) yang ditegah ialah: ~ berdusta, (gurauan), atau membuat janji palsu. Rasulullah ﷺ bersabda, maksudnya : "Ada tiga perkara yang sesiapa terlibat dengan satu daripadanya, maka dia adalah munafiq, walaupun dia mengamalkan puasa dan sembahyang, iaitu apabila bercakap dia berdusta, apa berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianati". ~ mengumpat, memfitnahkan orang, menghasut atau menjadi "batu api".

Rasulullah ﷺ bersabda: "Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih jahat daripada berzina. Penzina, apabila bertaubat, mungkin diampuni Allah, tetapi pengumpat tidak diampuni oleh Allah sehingga dia diampuni oleh orang yang diumpatnya". Orang yang mengumpat itu bagaikan melontarkan segala kebajikan ke timur ke barat dan ke kiri ke kanan, yakni dia menghantar kebajikannya kepada orang yang diumpatnya. Maka itu, Ibnu al-Mubarak berkata, "Jikalau aku ingin mengumpat, tentu aku akan mengumpat ibuku sendiri, kerana dialah yang terlebih berhak mendapat kebajikan daripadaku".

Rasulullah ﷺ bersabda: "Sewaktu aku berjalan pada malam israk, aku lihat beberapa puak penghuni neraka sedang makan bangkai. Menjawab pertanyaanku, Jibril berkata, "Mereka itu ialah orang-orang yang suka makan daging manusia di dunia'" (Orang-orang yang mengumpat).

Kepada Mu'az bin Jabal, Rasulullah pernah bersabda: "Putuskan lidahmu daripada mengumpat ahli al-Quran, penuntut ilmu, dan jangan engkau koyak-koyakkan daging manusia dengan lidahmu, nanti akan dikoyak-koyakkan dagingmu oleh anjing neraka". ~ mencacatkan cakap orang, membenarkan cakap sendiri dan berbantahan. ~ memuji diri. Allah Taala berfirman, mafhumnya: "Maka jangan kamu mengatakan diri kamu suci (memuji diri). Dia (Allah) maha mengetahui orang yang bertaqwa" (al-Najm: 32). ~ mengutuk dan memaki makhluk. ~ mendoakan kejahatan untuk manusia. ~ mengeluarkan kata-kata kotor, kesat, lucah, lucu (lawak yang tidak benar), sindiran dan gurau-senda dengan tujuan menghina dan memalukan orang.

Semua yang berkaitan dengan amalan lidah yang tersebut dikategorikan sebagai "kata-kata haram". Di samping itu, banyak menuturkan "kata-kata harus (mubah)" yang tidak berfaedah ditegah juga. Kerana, apabila banyak berbicara, berborak umpamanya, selalunya lidah tergelincir lalu menuturkan kata-kata yang haram itu. Kalau tidak demikian pun, sekurang-kurangnya merugikan masa dan mengikut ulama, akan memanjangkan hisab di akhirat kelak, sebagaimana yang dimaksudkan dalam syair berikut: "Jauhilah daripada kata-kata berlebihan, kerana hisabnya nanti berpanjangan."

Malik bin Dinar bermadah, "Apabila engkau dapati rasa degil bersarang di hatimu, terasa dhaif (lemah atau malas) beribadat dan sukar mendapat rezeki, maka ketahuilah, semuanya itu disebabkan oleh ucapan lidahmu mengenai perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu".

Menurut Imam al-Ghazali, kata-kata yang harus dan tidak berfaedah itu akan meimbulkan empat kesan negatif:

Pertama, menyibukkan malaikat mencatat kata-kata yang sia-sia itu. Sayugianya, seseorang itu malu dan tidak menyusahkan malaikat itu. Allah berfirman : "Ingatlah ketika mencatat dua malaikat pencatat amal, satu di kanan dan satu lagi di kiri dalam keadaan duduk. Tiada satu kata pun yang diucapkan (oleh seseorang) melainkan di sisinya ada (dua) malaikat pengawas yang sedia hadir" (Qaaf, 50: 17-18).

Kedua, kitab (buku catatan kedua-dua malaikat tersebut) akan dipersembahkan ke hadrat Allah Taala. Oleh itu, seseorang hamba Allah hendaklah takut kepada Allah dan berhati-hati supaya di dalam kitab itu tidak tercatat kata-kata yang sia-sia.

Diriwayatkan, seorang alim bertemu dengan seorang yang sedang mengeluarkan kata-kata yang keji dan tidak berfaedah. Lalu katanya kepada orang itu, "Amat malang bagimu! Engkau memenuhi kitab yang akan dipersembahkan ke hadrat Allah. Fikirlah sendiri, dengan apa engkau penuhi kitab itu!"

Ketiga, kitab itu akan dibacakan pada hari kiamat di hadrat Allah Malikul-Jabbar dalam perhimpunan paling agung segala manusia di padang Mahsyar pada hari kiamat.

Keempat, hamba Allah yang berkenaan akan mendapat cercaan dan penghinaan kerana kandungan kitabnya penuh dengan kata-kata yang sia-sia itu. Tiada lagi hujah baginya untuk membela diri.

Marilah kita mempersiapkan diri dalam menghadapi Ramadhan yang bakal tiba, agar dapat bermujahadah mengawal pertuturan dari yang haram dan sia-sia. Moga amalan kita sepanjang Ramadhan khususnya puasa akan diterima Allah sebagai amal soleh.

Ingatlah pesanan Rasulullah ﷺ: كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ "Berapa ramai orang puasa hanya mendapatkan lapar; dan berapa banyak orang yang mendirikan ibadah di malam hari, hanya mendapatkan penat saja." (HR. Ahmad)

Nota ini hasil dari status Mohd Fadli Yusof http://www.facebook.com/mfadli​ 11/posts/2322261055616 محمد فضلي بن يوسف 25 Syaaban 1432H 27 Julai 2011.

No comments:

Post a Comment