Menyambung bicara saya mengenai Ibrahim Ali minggu lalu. Segelintir ultra kiasu dalam parti komponen Barisan Nasional begitu anti dengan beliau. Misalnya, seorang perwakilan dalam Mesyuarat Agong MIC ke 65 membawa seekor katak, bagi tujuan menghina Ibrahim Ali atas tindakannya selama ini.
Ini belum termasuk kenyataan Presiden MIC yang baru dilantik menjadi menteri penuh, mengancam akan keluar dari Barisan Nasional (BN) jika BN menerima parti lain yang mewakili masyarakat India. Kadangkala terfikir juga, bolehkah bukan Islam ini dipercayai? Atau mereka hanya mengambil kesempatan sahaja. Maaf, saya tidak kata semua.
Sebelum itu, paderi bergelar Tan Sri yang menyertai rombongan Perdana Menteri ke Rom bagi mewujudkan hubungan diplomatik dengan Pope Benedict XVI Gereja Roman Katolik, sekali lagi mendesak Putrajaya mewujudkan kementerian hal ehwal bukan Islam ekoran hubungan dua hala dengan Vatican.
Pendek kata, suara bukan Islam berlainan bangsa seolah-olah senada. Manakala, umat Islam yang bergelar satu umat, tidak pernah senada. Bergaduh tidak pernah reda. Yang peliknya, bila berhadapan dengan bukan Islam, lembut gigi daripada lidah. Sesama Islam begitu keras sekali pendekatannya.
Persoalan saya, adakah umat Islam yang menjadi minoriti di negara bukan Islam dilayan sebaik ini? Terdapatkah kementerian hal ehwal Islam seperti ini di negara China, India dan negara barat yang lain? Umat Islam tidak kurang ramainya di negara-negara tersebut. Beri betis nak peha. Apa lagi hak bukan Islam yang tidak dipenuhi di negara bertuah ini? Pergilah ke negara lain, lihatlah nasib minoriti dari segi bilangan rumah ibadat mereka, kubur mereka, dan sebagainya, cukuplah untuk membuktikan betapa beruntungnya kita di sini.
Perancangan licik ini amat jelas walaupun penganutnya kurang dari sepuluh peratus. Mereka terus mendesak kerajaan mewujudkan Majlis Antara Agama, berbanding jawatankuasa sedia ada. Jika diwujudkan, pasti mereka akan mendominasi menenggelamkan agama-agama lain yang lebih ramai penganutnya.
Permasalahan yang timbul tidak semesti diselesaikan dengan menubuhkan kementerian bukan Islam seperti yang pernah dikemukakan Mac lalu ekoran penahanan 35,000 kitab Injil versi Bahasa Malaysia oleh Kementerian Dalam Negeri - yang diimport dari Indonesia untuk penganut Kristian.
Orang kuat Kristian itu berkata lagi, mereka mahukan kerajaan membenarkan Katolik meneruskan seminar latihan paderi untuk menggalakkan penganut Kristian-Katolik mendapat pendidikan dan kursus guru selain mewujudkan hubungan dua hala antara institusi agama Islam dan Pontifical Institute for Arabic and Islamic Studies.
Hairan saya, tidak cukup lagikah kemudahan dan kelonggaran yang diberikan selama ini. Setiap hari cuti (ahad) saya lihat, pelbagai aktiviti diadakan di hotel-hotel dan dewan-dewan. Memperlihatkan seolah-olah syurga Kristian berada di sini, bukan di negara-negara barat. Itupun tidak cukup lagi.
Tidak semestinya apabila kerajaan ultra kiasu menubuhkan portfolio majlis eksekutif untuk menjaga isu-isu keagamaan bukan Islam pada Februari tahun ini, maka kita perlu mengikutinya. Sesuatu tindakan perlu berasaskan kepada perlembagaan dan sensitiviti masyarakat setempat terutama pribumi.
Masihkah kita ingat, sebelum ini mereka mendesak supaya ditubuhkan The Interfaith Commission of Malaysia (IFC), tetapi masih belum berjaya. Jika kerajaan tunduk kepada desakan mereka, maka berjayalah perancangan dan misi mereka selama ini yang telahpun tercapai walaupun, badan secara formal belum ditubuhkan.
Tujuannya tidak lain bila ada badan yang sah di sisi undang-undang, mereka mempunya kuasa undang-undang yang boleh mengubah sesetengah agama akibat didesak oleh agama lain. Mari kita saksikan tuntutan mereka yang boleh dikatakan ‘berjaya’ walaupun kononnya badan rasmi belum ditubuhkan.
No comments:
Post a Comment