KALAH PALEMBANG OLEH PELABUR
KALAH PALEMBANG OLEH
PELABUR
PERNAHKAH tuan mendengar pepatah diatas?
Kalau
tuan sudah mendengarnya adakah tuan faham makna dan maksudnya? Mengapa
saya bertanya? Kerana ada orang Melayu menyebutnya tidak seperti diatas.
Mereka menggodamnya sebagai Kalah Palembang Oleh Penabur, yang sangat
berlainan makna dan maksudnya.
PENABUR ialah sejenis peluru
senapang untuk menembak tupai, musang, monyet, keluang dan lain-lain
binatang kecil yang sering menyerang durian dikebun.
Sebaliknya
PELABUR pula ialah wang ringgit dan sen yang dilaburkan, yang
dibelanjakan untuk berbagai-bagai tujuan, tujuan baik atau pun tujuan
jahat.
Untuk memahami makna dan maksud diatas: ALAH PALEMBANG
OLEH PELABUR , maka kenalah kita tahu sejarah. Mari kita
dengar..........
Pada zaman dahulu kala ada sebuah kerajaan
Melayu yang besar jajahannya dan kuat pula pertahannannya di alam
nusantara. Pusat kerajaan itu ialah PALEMBANG, di selatan Pulau Sumatra,
yang dahulunya terkenal juga dengan nama Pulau Perca ataupun Pulau
Andalas.
Kata sahibul hikayat, , istana Raja Palembang dibina
di atas bukit dan berpagar dengan pelbagai jenis buluh-buluh seperti
buluh gading, buluh runcing, buluh betung, buluh berduri dan berbagai
lagi termasuk buluh lemang.
Apabila Belanda cuba menyerang,
maka askar2 yang mengawal istana tersebut dan beberapa buah mahligai
lagi, serta balai-balai dan taman2 yang indah=indah diatas Bukit Seri
Palembang itu, telah menggolekkan kayu-kayu bulat ( hari ini dikenali
sebagai kayu balak ) kearah askar2 Belanda yang menyerang dari bawah
bukit. Mengikut cerita selanjutnya, entahkan dongeng entahkan betul ,
yang diceritakan hingga sekarang, maka ramailah askar2 Belanda yang
menjadi korban balak digelek ( perkataan hari ini digilis ) oleh
kayu-kayu bulat yang menggelongsor datang dari atas Bukit Seri
Palembang.
Belanda telah mencuba menembak Kota Buluh yang
berlapis-lapis itu dengan peluru2 penabur, tetapi tidak berkesan dan
memberi sebarang bahaya pun kepada pengawal2 dan hulubalang2 serta
pahlawan2 yang taat setia menjaga istana raja mereka, siang dan malam
bergilir-gilir berganti-ganti.
Diceritakan juga kononnya -
kononnya - pada zaman itulah seluruh negeri Palembang dan jajahan
takluknya sangat maju, makmur dan mewah seperti dapat dilihat dalam
lipatan sejarah Wan Empok dan Wan Melini yang berhuma menanam padi di
hulu Sungai Melayu di daerah Bukit Siguntang Mahamiru yang telah
mengeluarkan buahnya emas dan daunnya pula dari bahan logam perak.
Penasihat kerajaan ( sekarang ini di sebut "think tank" ataupun pasukan
otak bagus ) Belanda yang bertugas pada masa itu yang berasal dari
Ambon, tetapi telah melanjutkan pelajaran di Belanda malah berbinikan
perempuan Belanda dan masuk Keristian pula, telah mengesyurkan supaya
menukar taktik penyerangan! - menukar strategi dengan menggantikan
peluru penabur kepada " peluru pelabur".
" Apa itu peluru
pelabur?"tanya Jeneral Belanda yang bermisai lebat berbentuk huruf S
yang bertugas mengepung dan menyerang Istana Raja Palembang yang
dipagari rapat dengan rumpun buluh yang tebal ( bukan kebal ) itu.
" Itu orang Palembang yang berasal dari rumpun Bangsa Melayu boleh
dibeli dengan wang. tuan,"" kata pakar " think tank " dari Ambon itu.
" Oh, dia orang banyak suka dengan wang ringgit, eh?" Tapi macam
mana kita boleh taburkan wang ringgit kepada mereka itu, askar2 Melayu
yang berkawal di atas bukit sana?". Jeneral Belandan yang bodoh itu
meminta nasihat dari penasihatnya yang bijak bistari. " Kita bukannya
ada kapal udara" ( orang Sarawak kata "belon" bagi maksud kapalterbang )
, tambah Jeneral itu.
" Itu perkara gampang tuan!. Kata orang
Ambon itu, yang pada masa revolusi bangsa Indonesia pada tahun2 40an
dulu telah dicemuhi dengan gelaran " Belanda Hitam " ( Gampang ertinya
mudah lagi senang ).
" Toh, bagaimana sih?", merungut Jeneral
Belanda .
" Kita isi seberapa banyak duit syiling dalam guni2
dan karung2 , dan kita letakkan diatas beberapa ekor kuda padi dan
kemudiannya kita halau kuda-kuda itu kearah atas bukit lari memanjat
Bukit Istana Raja Palembang itu. Nanti tuan boleh lihat bagaimana kita
dengan mudah boleh menawan Istana Raja Palembang itu, kerana duit-duit
syiling yang bertabur tercampak kedalam rumpun-rumpun buluh itu akan
dicari dan direbut-rebut oleh askar-askar Palembang itu, hinggakan
pagar-pagar KOTA BULUH itu roboh dan runtuh.
Demikianlah asal
usul pepatah " KALAH PALEMBANG OLEH PELABUR' . Adakah cerita ini cerita
dongeng ataupun cerita betul, tidaklah saya tahu. Tetapi satu fakta (
satu kebenaran atau pun hakikat ) ialah orang baka Melayu memang mudah
dibeli dengan wang ringgit, emas perak, kayu balak, binatang ternak atau
pun gelaran2. Orang2 bukan Melayu yang telah lama di negara ini
kebanyakannya sudah pun mengetahui kelemahan ini. Itulah sebabnya zaman
sekarang ini ada istilah-istilah ' Ali Baba" dan Kassim Baba". Lesen
Kontrektor Kelas F Melayu pun dah banyak yang digunakan oleh kontrektor
bukan Melalyu.
Oleh kerana sifat-sifat lemah yang sentiasa ada
pada orang Melayu semenjak dahulu kala atau sejak zaman bahari (zaman
bahari? - bagi yang bertanya apa maksudnya zaman bahari? - sila rujuk
Kamus Dewan ) hingga sekarang , maka terpaksalah dikeluarkan
beribu-beribu bintang kebesaran pada tiap-tiap tahun, dan kerana itulah
juga kes-kes rasuah banyak melibatkan orang Melayu, lelaki dan
perempuan, yang sudah senang; tetapi menganggap diri mereka miskin,
kerana belum ada kereta Mercedes, belum ada TV plasma warna, belum ada
peti sejuk dan lain-lain benda moden. ( Pesaka PAK SAKO)
No comments:
Post a Comment